KUALA LUMPUR – Mahkamah Rendah Syariah di sini mengesahkan pernikahan antara pempangaruh media sosial Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin atau lebih dikenali Cleopatra dengan bekas Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd. Bakri Mohd. Zinin tidak pernah wujud.
Perkara itu dimaklumkan peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Cleopatra, 30, selaku pemohon selepas prosiding kes di hadapan Hakim Syarie Hakim Syarie Wan Mohd. Najib Wan Hamat.
Menurut peguam itu, mahkamah memutuskan demikian selepas menilai segala afidavit-afidavit yang dikemukakan oleh kedua-dua belah pihak sebelum ini.
“Memandangkan kedua-dua belah pihak menafikan pernikahan itu, maka mahkamah tiada bidang kuasa untuk ‘entertain’ (membuktikan) kerana perkahwinan itu tidak pernah berlaku.
“Hakim tidak menjurus kepada perkara itu (kesahihan sijil pernikahan) dan menyerahkan kepada polis atau Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) mengenai tindakan susulan. Hakim syarie hanya fokus kepada pernikahan ini wujud atau tidak selepas kedua-dua pihak memaklumkan tidak pernah ke seberang (Thailand) dan wali anak guam tidak pernah ikut ke sana,” katanya.
Sementara itu peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili Mohd. Bakri, 70, selaku responden ketika ditemui selepas prosiding turut mengesahkan perkara sama iaitu pernikahan antara kedua-dua pihak tidak pernah wujud.
“Oleh kerana mahkamah mendapati pernikahan itu tidak wujud, jadi mahkamah tidak perlu menentukan sama ada pernikahan itu sah ataupun tidak,” kata Fakhrul Azman.
Dalam pada itu, Nur Fathiah ketika ditemui bersyukur dengan keputusan mahkamah itu sekali gus menjernihkan status dirinya yang tidak pernah berkahwin dengan Mohd. Bakri.
“Alhamdulillah, untuk peringkat seterusnya saya akan buat laporan polis dan berharap pihak berkaitan akan menyiasat kewujudan sijil nikah palsu itu,” katanya.
Sebelum ini dalam prosiding terdahulu, Nur Fathiah menafikan dia pernah bernikah dengan Bakri.
Katanya, dia terkejut sebaik menerima satu sijil pernikahan dari negara jiran sedangkan dia tidak pernah ke sana dan berkahwin dengan bekas pegawai tertinggi polis itu.
Atas sebab itu, bekas calon bebas Parlimen Batu, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) memfailkan satu permohonan di Mahkamah Rendah Syariah di sini bagi mendapatkan jawapan kesahihan pernikahan dan sijil nikah yang diperolehi.
Tambahnya, sebelum kes dibawa ke mahkamah hari ini, kes itu tersebut telah dirujuk ke Jawi dan badan agama itu kemudian telah mengesahkan sijil nikah tersebut adalah palsu.
Pada Oktober tahun lalu, Nur Fathiah menyangkal dakwaan telah melangsungkan perkahwinan dengan Mohd. Bakri.
Nur Fathiah berkata, bekas polis tertinggi itu juga bukan merupakan pengerusi kepada anak syarikat miliknya.
Sebelum itu, Nur Fathiah telah memuat naik gambar dirinya dan Mohd. Bakri di Instagram (IG) di mana mereka menghadiri konsert ‘Senandung Nusantara Ethnochestra oleh Erwin Gutawa dan Jay Subyakto’.
Perkara tersebut menimbulkan tanda tanya dalam kalangan netizen malah gambar tersebut turut menerima banyak ucapan tahniah daripada orang ramai. – KOSMO! ONLINE