fbpx

Penyanyi kali terakhir hubungi kekasih sebelum hilang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aufahanie berkongsi gambar dompet dan telefon bimbit abangnya yang dijumpai di jambatan Sungai Klang.

KLANG – Kad mesin pengeluaran automatik (ATM) milik abang kepada penyanyi popular Aufahanie iaitu Muhammad Nidza Afham didapati turut hilang ketika dompet pemuda tersebut ditemui atas Jambatan Kota di sini, semalam.

Muhammad Nidza, 23, dilaporkan hilang kira-kira pukul 7.45 petang selepas dikatakan pergi berjoging di Stadium Sultan Sulaiman.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan pemuda tersebut kira-kira 4.22 pagi tadi daripada adik kandungnya dengan didapati tidak pulang ke rumah sehingga kini.

Katanya, semasa kejadian Muhammad Nidza yang kini diklasifikasikan sebagai Orang Hilang (OH) memakai pakaian warna gelap sama ada biru atau hitam.

“Hasil siasatan mendapati pemuda tersebut telah keluar dari rumahnya di Bandar Puteri di sini kira-kira pukul 7.45 petang semalam menggunakan perkhidmatan pengangkutan (indrive) ke stadium tersebut.

“Teman wanita pemuda itu telah menghubunginya kira-kira pukul 9.04 malam sebelum panggilan sudah tidak dapat disambungkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan, teman wanita pemuda itu mendapati lokasi terakhir keberadaan kekasihnya melalui aplikasi ‘Find My Iphone’ adalah di Jambatan Kota berdekatan Majlis Bandaraya Diraja Klang.

Hoong Fong menambah, adik OH berkenaan juga telah pergi lokasi terakhir dikenalpasti tersebut dan telah menjumpai sebuah telefon bimbit.

“Turut ditemukan adalah dompet berisi dokumen milik pemuda tersebut seperti kad pengenalan dan kad pelajar kecuali kad ATM yang telah hilang.

“Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan OH diminta menyalurkannya terus kepada Ibu Pejabat Polis Daerah ini di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Terdahulu, Kosmo!Online melaporkan Aufahanie yang cukup dikenali menerusi lagu Geming Jiwa itu meminta bantuan orang ramai agar menjejaki abangnya yang telah hilang selepas keluar berjoging. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI