GEORGE TOWN – Tindakan beberapa pengusaha makanan dan minuman menghalang laluan kaki lima Lebuh Chulia dan Love Lane di sini akhirnya memakan diri apabila diserbu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) semalam.
MBPP dalam satu kenyataan berkata, operasi khas tersebut dijalankan sepasukan anggota dari Jabatan Pelesenan dengan kerjasama Jabatan Penguatkuasaan MBPP, bermula pukul 8.30 malam.
Menurutnya, sebanyak sembilan premis perniagaan telah dikenakan tindakan rampasan peralatan perniagaan mengikut Seksyen 46(1), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (halangan).
“Tindakan tegas yang diambil ke atas pengusaha premis-premis perniagaan tersebut adalah susulan daripada perangai mereka yang engkar dan berdegil walaupun beberapa amaran dan kompaun telah diberikan.
“MBPP telah merampas 44 barangan dan peralatan perniagaan terdiri 29 unit kerusi, 10 unit meja dan lima unit papan tanda iklan,” katanya di sini hari ini.
Jelas kenyataan itu lagi, kesemua peralatan perniagaan yang dirampas telah dibawa ke stor Jabatan Penguatkuasaan MBPP untuk tujuan dokumentasi dan tindakan selanjutnya. – KOSMO! ONLINE