PETALING JAYA – Ekspo Genting SustainBiz F&B anjuran Resorts World Genting yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 10 September ini bakal menetapkan standard baharu dalam industri makanan dan minuman (F&B) serta memberi tumpuan terhadap masa depan lestari dan ekonomi hijau.
Ekspo yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Genting di Genting Highlands, Pahang itu akan menjadi platform utama bagi pembeli dan pelabur berinteraksi, meneroka peluang baharu, menjalin kerjasama dalam sektor teknologi dan inovasi lestari makanan serta minuman yang pesat berkembang.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, Ekspo Genting SustainBiz F&B menawarkan pameran yang meluas dan menjadi platform utama untuk mempraktikkan kelestarian yang berinovatif dalam industri makanan dan minuman
“Ekspo ini menampilkan kira-kira 60 jenama terkemuka dari seluruh dunia dan tempatan, termasuk Nestle, Cremer Sustainable Foods, Kimberly-Clark, Gelatomio, World New Energy, Temasek Polytechnic Singapore, Sunway University, Farm Fresh Malaysia serta syarikat permulaan agri-teknologi.
“Pameran ini juga akan menonjolkan inovasi dalam pengeluaran makanan lestari, pembungkusan, pengurusan sisa makanan, amalan pertanian regeneratif, penyelidikan makanan, inovasi berasaskan tumbuhan serta peralatan komersial mesra alam,” katanya.
Kenyataan tersebut menerangkan, Ekspo Genting SustainBiz F&B menyediakan rangkaian peluang perniagaan dengan pembeli terkemuka, bengkel percuma untuk membina perbualan bermanfaat serta perkhidmatan kecerdasan buatan yang memastikan pemadanan perniagaan yang tepat.
Ekspo tersebut mendapat kerjasama daripada Comexposium Asia Pacific, Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB) sebagai rakan strategik dan Visa Malaysia sebagai penaja utama selain disokong oleh Dewan Perniagaan Melayu Kuala Lumpur dan Air Asia Ride. -KOSMO! ONLINE