PETALING JAYA – Transformasi sistem pendidikan perlu bermula dengan mengintegrasikan nilai-nilai kenegaraan dalam kurikulum di semua peringkat pendidikan untuk membentuk generasi pemimpin masa depan yang berwibawa dan beretika.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, nilai-nilai seperti integriti, kesaksamaan dan tanggungjawab sosial perlu diajar bukan sahaja sebagai subjek moral tetapi juga sebagai asas dalam semua bidang pengajian.
“Ini dapat dicapai melalui pendekatan pembelajaran yang holistik serta penekanan terhadap metodologi penyampaian dalam sistem pendidikan Negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah telah telah menghadiri Program Karisma Pemikir MADANI Kepimpinan Tertinggi Pentadbiran Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) semalam.
katanya, program yang dianjurkan itu jelas mencerminkan komitmen dan kesungguhan Kerajaan serta institusi pendidikan, khususnya UKM dalam memacu pembangunan negara dan memperkasakan barisan pemimpin akademik serta pentadbiran masa hadapan.
“Saya yakin dengan usaha berterusan dan kerjasama erat antara pengurusan, tenaga pengajar serta seluruh warga universiti ini, UKM akan terus unggul sebagai pusat kecemerlangan dan sumber inspirasi kepada generasi akan datang. Insya-Allah.- KOSMO! ONLINE