fbpx

MRQ107, MRQ111 varieti padi wangi terbaharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rubiah (tengah) meninjau sawah padi di Pusat Benih, Felcra Seberang Perak dekat Pasir Salak hari ini. - Foto AINSAFRE BIDIN/ KOSMO!

PASIR SALAK – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) memperkenalkan dua varieti baharu padi wangi hari ini iaitu MRQ107 Dan MRQ111.

Pengerusinya, Dr. Azman Ismail berkata, kedua-dua varieti padi wangi tempatan itu mempunyai beberapa ciri istimewa, antaranya aroma wangi serta tekstur nasi yang lembut.

“Kedua-dua varieti ini mampu mencapai hasil tualan melebihi 5 metrik tan per hektar dengan pengurusan yang baik. MRQ 107 boleh dituai dalam tempoh 112 hingga 115 hari selepas ditabur manakala MRQ 111 dalam tempoh 116 hingga 118 hari lepas tabur.

Selain itu, kedua-dua varieti ini mempunyai tahap kerintangan baik terhadap penyakit karah daun dan karah tangkai dan sesuai untuk dijadikan beras rebus di mana ia sangat sesuai disasarkan kepada pengguna yang mementingkan nilai pemakanan sihat,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pengisytiharan Varieti Padi Wangi Baharu Felcra MRQ107 dan MRQ111 yang disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang di Pusat Benih, Felcra Seberang Perak di sini.

Pada masa sama, Rubiah berkata, kementeriannya mengalu-alukan kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menerusi agensi-agensi di bawahnya ke arah memantapkan dan memperluaskan penanaman varieti padi spesialti khususnya di Felcra Seberang Perak.

Menurut beliau, pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya 10 peratus dari keluasan 3,400 hektar di sini akan ditanam dengan varieti padi MRQ107 dan MRQ111.

Beliau turut berkata, pengisytiharan varieti padi wangi baharu Mardi tersebut adalah selari dengan salah satu strategi yang telah digariskan di dalam Dasar Agro-Makanan 2.0 di bawah sub-sektor padi dan beras iaitu memanfaatkan potensi varieti beras istimewa tempatan.

“Dengan pengenalan dua varieti ini, ianya menjadikan jumlah keseluruhan varieti padi yang dihasilkan oleh Mardi sejak penubuhannya pada 1969 adalah sebanyak 55 varieti. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI