fbpx

Maimunah wanita pertama jadi Datuk Bandar Kuala Lumpur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar (dua kiri) menyerahkan surat pelantikan kepada Dr. Maimunah yang akan menjalankan amanah sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur baharu.

PETALING JAYA – Penasihat kepada International Council for Local Environment Initiative (ICLEI), Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd. Sharif dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur baharu, berkuat kuasa esok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata, pelantikan itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim selaras Subseksyen 4 (2) Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.

“Saya percaya Maimunah akan dapat meneruskan kesinambungan pengalaman dan sumbangan beliau untuk memimpin Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan penuh integriti bagi memastikan kemampanan pembangunan berterusan ke arah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang maju dan sejahtera.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih diucapkan kepada Datuk Seri Kamarulzaman Mat Salleh atas segala sumbangan dan kepimpinan beliau sepanjang menjawat jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan surat pelantikan kepada Dr. Maimunah sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu.

Menurut Anwar, Dr. Maimunah merupakan individu yang layak untuk menggalas amanah mengemudi DBKL berdasarkan pengalaman selama hampir empat dekad dalam perancangan bandar dan pembangunan komuniti.

“Ini termasuk pengalamannya sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai, serta pernah menjadi Presiden Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA).

“Lebih membanggakan, beliau juga pernah dilantik sebagai Pengarah Eksekutif Persidangan Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) yang berpusat di Nairobi, Kenya, satu-satunya wanita Asia yang memegang jawatan ini,” ujarnya.

Tambahnya, semoga pengalaman hebat yang dimiliki Dr. Maimunah digunakan untuk memperbaiki taraf kehidupan warga Kuala Lumpur serta mengangkat imej, reputasi dan martabat bandaraya ini ke peringkat lebih tinggi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI