fbpx

Memperkasa PMKS: Bagaimana komuniti penjual lonjak kejayaan usahawan e-dagang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Zaid Othman, pengasas Lampu Cherita dan salah seorang daripada 17 Shopee Bintang.

PETALING JAYA – Setelah sembilan tahun mencari hala tuju dan mengalami kegagalan dalam beberapa perniagaannya yang lalu, Mohd. Zaid Othman akhirnya menemui kejayaan melalui minatnya terhadap pembuatan lilin pewangi.

Pada tahun 2019, lelaki ini melancarkan Lampu Cherita, iaitu sebuah kedai lilin pewangi buatan tangan.

Pada permulaan perjalanan perniagaannya dalam taliannya, Zaid berhadapan dengan pelbagai kerumitan e-dagang sebagai pemain baharu. Berbekalkan tekad untuk berjaya, lelaki ini beralih ke Shopee untuk mendapatkan sokongan dan ilmu pengetahuan yang diperlukan.

Melalui platform e-dagang, Zaid mendapat akses kepada kelas latihan dalam talian percuma yang memperkasakannya dengan kemahiran dan ilmu pengetahuan penting untuk mentransformasikan perniagaan.

Ia merangkumi pelbagai bidang seperti jualan, pemasaran dan operasi yang menawarkan strategi praktikal untuk memacu trafik, meningkatkan kadar aktiviti pembelian serta pengurusan inventori.

Selain mengikuti kursus-kursus ini, ilmu pengetahuan Zaid semakin mendalam melalui program Shopee Xperts, yang mana sekumpulan pelatih sah dan penjual berjaya berkongsi ilmu dan pengalaman mereka bersama beliau.

Bimbingan mereka memainkan peranan penting yang membolehkan Zaid mengaplikasikan amalan terbaik dan memaksimumkan keberkesanan alatan perniagaan platform.

Dengan nasihat berkesan daripada para profesional berpengalaman ini, Zaid melakukan penambahbaikan kepada operasi perniagaannya yang membawa hasil ketara dan dan membuka pintu kejayaan buat Lampu Cherita.

Selain itu, Zaid juga aktif dalam kumpulan Facebook ShopeeUni – sebuah komuniti penjual yang rancak berbincang hal e-dagang.

Kumpulan ini menjadi sumber inspirasi dan nasihat yang membawakan perspektif baharu yang membantunya kekal maklum tentang trend industri. Persekitaran berkolaboratif kumpulan ini merupakan faktor kritikal dalam pertumbuhan dan kejayaan Lampu Cherita.

Pun begitu, perjalanan beliau tidak mampu lari daripada ujian dan cabaran.

Pada tahun 2021, banjir yang melanda kilang lilin yang juga rumah Zaid sendiri telah mengakibatkan kerosakan bernilai RM100,000.

Mohd. Zaid bersama adik lelakinya, Mohamad Hakimi kerap berstrim secara langsung di Shopee Live.

Dalam menghadapi kesulitan ini, beliau menemui semangat melalui komuniti Shopee, yang mana rakan seperjuangan penjual dan pelanggannya telah bekerjasama memberi sokongan penting serta bergotong-royong membersihkan ruang yang rosak.

“Bantuan mereka semasa waktu yang paling sukar buat saya meringankan beban berat dan mengingatkan saya tentang ikatan kuat yang telah dibentuk.

“Pengalaman ini membuatkan saya rasa sangat bersyukur dan komited untuk memberi kembali kepada masyarakat,” katanya.

Didorong oleh rasa syukur dan dilengkapi dengan ilmu pengetahuan yang diperoleh, Zaid telah melangkah lebih jauh untuk memainkan peranan baharu sebagai mentor.

Beliau kini aktif dalam kumpulan Facebook ShopeeUni untuk berkongsi mesej motivasi, tips praktikal dan nasihat tentang cara memanfaatkan alat perniagaan Shopee. Pandangannya mengenai strategi pemasaran, penglibatan pelanggan dan pengoptimuman produk amat dihargai komuniti berkenaan.

“Saya bersyukur atas sokongan yang saya terima ketika berdepan dengan pelbagai cabaran dalam menjalankan perniagaan. Kini, saya berasa puas dapat membantu yang lain mencapai kejayaan dengan bimbingan dan dorongan yang juga pernah membantu saya.

“Menyokong komuniti adalah cara saya memberi kembali dan membantu yang lain berjaya seperti yang telah saya terima sebelum ini,” kata Zaid.

Pada tahun 2022, sumbangan Zaid diiktiraf secara rasmi apabila beliau dipilih sebagai salah satu daripada 17 ahli Shopee Bintang, yang menandakan peralihannya daripada seorang penjual berjaya kepada mentor dalam program Komuniti Shopee Bintang.

Zaid berinteraksi dengan penjual lain melalui acara dalam dan luar talian dan berkongsi kepakarannya melalui sesi bulanan Facebook Live. Beliau menekankan kepentingan untuk sentiasa belajar dengan mengadaptasi trend baharu dan untuk menggunakan sepenuhnya sumber bernilai Shopee Xperts dan Shopee University.

Ketua Pemasaran dan Pengurusan Data di Shopee Malaysia, Tan Ming Kit berkata, komitmen Shopee lebih daripada sekadar menyediakan alatan perniagaan.

Mohd Zaid. (belakang, dua dari kiri) bersama peserta bengkel Shopee.

“Kami percaya dengan kepentingan komuniti dan memupuk perkembangan komuniti untuk membantu penjual tempatan berjaya dalam era digital.

“Kami berusaha membantu memenuhi potensi penuh mereka yang memacu ekonomi digital Malaysia dengan menyediakan sumber penting kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), seterusnya membina komuniti penjual yang kukuh.

“Dengan usaha bersama, kita dapat membawakan impak yang berkekalan dan meningkatkan pertumbuhan usahawan kita,” katanya.

Shopee turut melaksanakan kolaborasi bersama agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerusi program Pupuk@Shopee, bertujuan untuk melatih dan memperkasakan penjual e-dagang luar bandar melalui kelas Shopee University yang dijalankan di pusat internet luar bandar MCMC.

Kelas-kelas ini berjaya memacu jualan sebanyak RM55 juta untuk 29,000 penjual tempatan yang telah meningkatkan pendapatan harian purata mereka sebanyak 22 peratus tahun ke tahun.

Selain itu, melalui Program OKU Celik Digital dengan kerjasama Kementerian Komunikasi, 500 penjual OKU tempatan dapat belajar cara mengemudi pasaran digital melalui sesi latihan yang dijalankan oleh Shopee. – KOSMO! ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI