PETALING JAYA – Persatuan Pengasuh dan Perkembangan Awal Kanak-Kanak Berdaftar Malaysia (PPBM) menggesa kerajaan untuk mengkaji semula penetapan gaji minimum bagi pengasuh dan pendidik di taska serta tadika.
Menurut pengerusinya, Norsheila Abdullah, penetapan gaji progsif itu secara keseluruhan memberi kesan kepada kos pengeporasian pengusaha taska dan tadika.
“Pihak kami mengalu-alukan skim gaji tersebut tetapi pada masa sama berharap kerajaan mengkaji semula bagi mengimbangi kembali kos dan cabaran yang terpaksa dihadapi oleh pengusaha taska dan tadika.
“Penetapan gaji tersebut secara tidak langsung akan memberi kesan kepada ibu bapa kerana pihak pengusaha taska dan tadika terpaksa menaikkan yuran bagi menampung kos operasi seiring peningkatan gaji pekerja,” katanya.
Tambahnya, yuran yang meningkat itu dibimbangi akan membebankan ibu bapa dan mereka terpaksa menghantar anak-anak ke taska atau tadika tidak berdaftar yang menawarkan yuran lebih murah.
Beliau berkata demikian pada sidang media Perbincangan Isu Gaji Permulaan Bagi Industri Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak.
Katanya, gaji minimum terbaharu yang ditetapkan adalah sebanyak RM1,955 berbanding RM1,500.
Jelasnya, untuk gaji minium yang baharu itu pengusaha taska atau tadika terpaksa menampung lebih RM2,300 sebulan untuk seorang pekerja.
“Kos itu juga merangkumi pembayaran caruman seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Sistem Insurans Pekerja (SIP).
“Sehubungan itu, kami berharap kerajaan mengkaji semula gaji dalam sektor ini dan memberi subsidi pendidikan awal kanak-kanak agar tidak ada pihak yang terbeban dalam hal ini,” katanya.
Jelasnya, Malaysia boleh menimbang semula untuk memperkenalkan atau memperluas subsidi pendidikan awal kanak-kanak bagi keluarga berpendapatan rendah dan sederhana seperti model yang digunakan di Singapura dan Jepun.
Dalam pada itu, Norsheila turut mengutarakan isu pembaharuan lesen pengusaha tadika atau taska yang mana prosesnya semakin menyusahkan dan perlu menunggu terlalu lama untuk diluluskan.
“Pengusaha tadika atau taska perlu menyelesaikan pembaharuan pendaftaran itu dalam tempoh tiga bulan tetapi disebabkan kelewatan pihak tertentu menyebabkan tempoh itu tamat dan mereka terpaksa menutup.
“Oleh itu, sepanjang tempoh ini pengusaha juga terpaksa menanggung kos yang tinggi termasuk bayaran pendaftaran baru, sewa bulanan, utiliti dan gaji pekerja,” katanya. – KOSMO! ONLINE