CANBERRA – Juruterbang helikopter yang merempuh bumbung hotel Hilton di bandar Cairns, Australia, kelmarin, dikenal pasti sebagai kru darat syarikat penerbangan terbabit, lapor agensi berita United Press International.
Ketua Pegawai Eksekutif Nautilus Aviation, Aaron Finn berkata, Blake Wilson, 23, yang terkorban dalam nahas itu memiliki lesen juruterbang tetapi tidak pernah mengendalikan pesawat di Australia.
Wilson juga tidak mendapat kebenaran untuk menerbangkan helikopter tersebut, dan tidak mendapat akses untuk memasuki hangar pada hari kejadian.
Tambah Finn, satu acara sosial diadakan oleh pekerja Nautilus Aviation pada malam Ahad lalu untuk mengiktiraf Wilson yang menerima kenaikan pangkat.
“Ini adalah penerbangan yang dilancarkan secara persendirian oleh individu tersebut yang dinaikkan pangkat ke satu jawatan kru darat,” kata Finn.
Namun, keadaan yang menyebabkan Wilson menerbangkan helikopter itu dan punca nahas secara keseluruhan masih dalam siasatan.
“Kami akan terus bekerjasama rapat dengan polis Queensland dan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia untuk menyiasat kejadian itu,” tambah Finn.
Sebuah helikopter milik Nautilus Aviation terhempas ke atas bumbung hotel DoubleTree by Hilton yang terletak di bandar Cairnes, sekitar pukul 1:54 pagi (waktu tempatan) kelmarin, sekali gus membunuh Wilson. – AGENSI