PETALING JAYA – Abang kepada penyanyi popular Aufahanie iaitu Nidza Afham dilaporkan hilang sejak malam tadi selepas keluar melakukan aktiviti riadah atau jogging di Stadium Klang.
Ahli keluarga Nidza termasuk Aufahanie kini berada dalam keadaan cemas apabila Nidza terus hilang daripada radar sejak pukul 7.58 malam tadi.
“Assalamualaikum, tidak pernah terfikir saya akan lakukan ini tapi saya memerlukan bantuan warga Malaysia.
“Adik saya Nidza Afham hilang. Lokasi terakhir telefon dan dompet ditemui atas jambatan Sungai Klang (Sebelah jambatan baru).
“Dia keluar pergi jogging dalam pukul 7.58 malam (indrive) ke Stadium Klang,” tulis kakak sulung Aufahanie yang kemudian diulang siar Aufahanie menerusi Instagram.
Aufahanie yang cukup dikenali menerusi lagu Geming Jiwa itu berharap agar abangnya ditemui dalam keadaan selamat dan tiada perkara buruk menimpanya.
“Minta tolong semua orang, tolong doakan abang saya dijumpai dalam keadaan selamat. Ya Allah,” coret Aufahanie.
Turut disertakan dalam Instragram Aufahanie termasuklah tangkap layar kronologi kehilangan Nidza yang hanya membalas mesej keluarga kali terakhir pukul 9.04 malam sebelum hilang sehingga kini.
Difahamkan, laporan polis juga telah dibuat oleh pihak keluarga di Balai Polis Klang. – KOSMO! ONLINE