JOHOR BAHRU – Keluarga Allahyarham Istiqomah Ahmad Rozi, 34, yang dibunuh kejam dengan anggota badan termasuk kepala dikerat, berharap jenazah cikgu wanita itu dapat dituntutkan dalam kadar segera.
Suaminya, Mohd. Yusof Mokhtar, 35, berkata, setakat ini pihak keluarga masih menerima sebarang makluman baik dari pihak polis mahupun Hospital Melaka berkenaan proses tuntutan jenazah itu.
Katanya, dia dimaklumkan polis masih menjalankan siasatan terperinci berhubung kes itu termasuk menunggu laporan ujian padanan asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas kepala dan jari yang ditemukan.
“Saya ada terbaca laporan akhbar bahawa mayat belum boleh dituntut dan polis menunggu laporan DNA, difahamkan ia akan diperolehi pada minggu depan.
“Kami di sini menunggu penuh sabar, saya amat berharap jenazah isteri dapat dituntut segera memandangkan sudah berbulan-bulan arwah meninggal dunia,” katanya kepada pemberita hari ini. – KOSMO! ONLINE