fbpx

Hanya ‘keluarga UMNO’, 6,433 perwakilan hadiri PAU 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Asyraf bercakap pada sidang media Sempena Perhimpunan Agung UMNO 2024 di Menara Dato Onn hari ini. Foto oleh M.FIRDAUS M.JOHARI/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Seramai 6,433 perwakilan daripada seluruh negara akan menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 yang akan dianjurkan pada 21 hingga 24 Ogos ini yang akan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia termasuk kehadiran ketua-ketua Penerangan bahagian yang dijadikan perwakilan automatik sebagaimana pindaan kepada Perlembagaan dan peraturan mesyuarat pada PAU sebelum ini.

“Perwakilan keseluruhan adalah seramai 6,433 orang perwakilan yang melibatkan di peringkat PAU kali ini meningkat seramai 2,939 orang perwakilan kerana ada tambahan ketua penerangan yang dijadikan sebagai perwakilan automatik.

“PAU kali ini akan melibatkan sebanyak 60 buah agensi media melibatkan media cetak dan elekronik iaitu 54 agensi tempatan dan enam agensi antarabangsa dengan penglibatan seramai 390 orang petugas media yang telah berdaftar,” katanya ketika sidang akhbar khas sempena PAU 2024 di Menara Dato’ Onn hari ini.

Dalam pada itu, Asyraf turut memaklumkan bahawa seperti kebiasaannya gerai jualan juga akan dibuka kepada orang ramai iaitu 100 gerai dengan harga berpatutan disediakan sepanjang tempoh berlangsungnya persidangan ini.

Kata beliau lagi, persidangan PAU kali ini hanya akan melibatkan keluarga UMNO dan seperti kelazimannya akan menjemput pemimpin tertinggi parti-parti komponen Barisan Nasional (BN).

Sementara itu Asyraf berkata, melalui perbincangan di peringkat majlis pimpinan Kerajaan Perpaduan juga memutuskan bahawa tiada kehadiran parti-parti dalam kerajaan pada persidangan PAU kali ini.

“Untuk tahun kedua bersama dengan kerajaan ini kita buat PAU secara keluarga UMNO lebih dahulu sebab tahun pertama itu kita bawa jemputan dan insya-Allah tahun depan atau tahun sebelum pilihan raya.

“Kali ini kita nak memberikan ruang seluas-luasnya kepada keluarga besar UMNO untuk berbincang secara kekeluargaan. Tidak ada pemimpin utama parti yang datang kali ini seperti kesepakatan bersama namun kehadiran komponen-komponen BN seperti biasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI