KONTINJEN paralimpik negara bersedia memulakan perjuangan mereka di Sukan Paralimpik Paris 2024 yang membuka tirai dari 28 Ogos hingga 8 September ini dengan misi memburu sebanyak mungkin kilauan emas dibawa pulang ke tanah air.
Kali ini, skuad paralimpik meletakkan sasaran untuk menuai empat pingat emas sekali gus memperbaiki pencapaian tiga emas pada edisi di Tokyo tiga tahun lalu.
Presiden Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin berkata, seramai 29 atlet dan seorang lagi negara sedang menanti lampu hijau untuk mengukir sejarah di bumi Perancis.
“Sasaran kita di Paris tetap sama iaitu empat pingat emas. Jika kita lihat ada potensi untuk tambah lagi kilauan emas, kita akan maklumkan kemudian di sana nanti.
“Antara sukan kita jangka mampu jelmakan pingat emas menerusi olahraga, badminton dan juga powerlifting. Ini antara sukan yang kita jangka mampu melakukan kejutan,” katanya.
Ketika ditanya mengenai cuaca panas di Paris, Megat menegaskan, atlet-atlet para negara bersedia mengharungi apa jua cabaran mendatang.
“Kami telah melakukan semakan mengenai keadaan cuaca sepanjang dua minggu tersebut dan dimaklumkan keadaan panas di sebelah siang serta sejuk waktu malam. Atlet sememangnya bersedia dari segi cuaca,” katanya.
Malaysia akan menghantar kontinjen terbesar ke Pariskali ini dengan jangkaan 30 atlet para termasuk seorang pemain tenis kerusi roda yang sedang menunggu kelulusan daripada badan antarabangsa untuk diberikan slot penyertaan.
Pada Paralimpik Tokyo 2020, seramai 22 atlet negara melayakkan diri dalam sembilan jenis sukan dan berjaya membawa pulang tiga emas dan dua perak.
Bagi edisi kali ini, sasaran emas diletakkan ke arah juara-juara terdahulu, Datuk Abdul Latif Romly (lompat jauh), Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru), Cheah Liek Hou (badminton) dan Bonnie Bunyau Gustin (powerlifting).