PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang merangka peraturan baharu untuk mengenakan denda keatas lelaki yang didapati menceroboh koc merah jambu dalam pengangkutan awam yang diperuntukkan khas kepada penumpang wanita.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, pada masa sama, operator perkhidmatan komuter Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dan Transit Aliran Massa (MRT) turut diminta untuk meningkatkan pemantauan terhadap koc-koc wanita berkenaan.
Menurut beliau, polis bantuan di stesen-stesen kereta api dan MRT akan digerakkan lebih kerap untuk memastikan golongan lelaki tidak menceroboh koc wanita.
“Sudah tentu ada kes-kes begitu, saya tak nafikan, yang kita akan ambil tindakan dari semasa ke semasa. Buat masa ini, sudah tentu polis bantuan akan menjalankan tugas mereka untuk meminta lelaki-lelaki terbabit meninggalkan koc wanita.
“Dari segi peraturan kita juga sedang merangka apakah bentuk denda yang boleh kita kenakan,” katanya pada sidang akhbar berhubung Inisiatif Pemerkasaan Industri Kereta Api bersama Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE