PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) meramalkan hujan lebat berserta ribut petir membadai tujuh negeri, petang ini.
Menerusi perkongsian di laman Facebooknya, MetMalaysia berkata, antara negeri yang terlibat ialah Kedah, Pulau Pinang, Perak, Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak.
Menurutnya, di Kedah antara kawasan yang terlibat adalah Padang Terap, Yan, Pendang, Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu.
“Keadaan cuaca sama juga akan turut melanda di seluruh negeri Pulau Pinang, Perak dan Melaka.
“Bagi negeri Johor, antara kawasan yang terjejas adalah Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru,”katanya.
Untuk negeri Sarawak pula, keadaan cuaca buruk itu dijangka melanda kawasan Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Miri (Miri) dan Limbang (Lawas).
“Di Sabah, antara kawasan terlibat adalah Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang, Kota Kinabalu dan Tuaran,” ujarnya.
Kata MetMalaysia, keadaan cuaca buruk itu dijangka berterusan sehingga pukul 5 petang. – KOSMO! ONLINE