fbpx

CIMB komited perkukuh daya tahan operasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CIMB Bank - Gambar hiasan

PETALING JAYA – CIMB Bank Berhad dan CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB) komited untuk terus melabur dalam teknologi, sistem dan proses untuk mengukuhkan daya tahan dan memastikan infrastruktur kritikalnya dapat berkhidmat dan memenuhi keperluan pelanggan pada setiap masa.

Katanya dalam satu kenyataan hari ini, pihaknya menerima keputusan pengenaan Penalti Monetari Pentadbiran (AMP) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan menyesali masa terhenti tidak dirancang pada sistem kritikalnya pada 8 dan 9 April lalu, yang memberi kesan kepada pelanggan dan rakan niaga.

“Ketika pihak bank bersama pihak ketiga telah mengambil langkah perlu untuk memastikan masa terhenti diminimumkan, insiden itu menjejaskan transaksi perbankan pelanggan, dan kami mengakui bahawa perlu berusaha untuk melakukan yang lebih baik.

“Bank telah mengukuhkan langkah pembetulannya dan pencegahan untuk menangani gangguan perkhidmatan tepat pada masanya, termasuk pengawasan mencukupi oleh pihak ketiga, sambil memastikan pelan kesinambungan perniagaan boleh dimulakan serta-merta ketika saat kritikal.

“CIMB mengutamakan tanggungjawabnya kepada pelanggan dan ingin mengucapkan terima kasih atas sokongan mereka,” katanya.

Terdahulu, BNM dalam satu notis yang dikeluarkan hari ini memberitahu telah mengenakan AMP sebanyak RM760,000 ke atas CIMB pada 29 Julai lalu, atas gangguan perkhidmatan berpanjangan yang menjejaskan saluran perbankan elektronik, Mesin Juruwang Automatik serta kad debit dan kad kredit pada 8 dan 9 April 2024.

Jelasnya, tempoh gangguan perkhidmatan itu melebihi paras ambang yang ditetapkan oleh BNM.

“Siasatan punca insiden mendapati ketidakpatuhan CIMB disebabkan kegagalan proses tindak balas dan pemulihan untuk menghentikan gangguan sistem dengan segera, lantas memberikan kesan terhadap tahap ketersediaan perkhidmatan perbankan penting untuk pelanggan dan pihak lain yang berkenaan.

“CIMB telah mengambil tindakan pemulihan yang sewajarnya, termasuk mempertingkatkan fungsi pemantauan infrastruktur IT (teknologi maklumat) masa nyatanya bagi menambah baik lagi keupayaan pemulihan sistem dan mencegah ketidakpatuhan pada masa hadapan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI