fbpx

Bekas PM Bangladesh gesa hukum perusuh ganas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebuah kedai pakaian dibakar oleh kumpulan perusuh di Dhaka pada 4 Ogos lalu. - AFP

DHAKA – Bekas perdana menteri Bangladesh, Sheikh Hasina menggesa tindakan diambil terhadap mereka yang terlibat dalam pembunuhan dan vandalisme sepanjang protes ganas tercetus di negara itu, lapor saluran berita Al Jazeera semalam.

Dalam komen pertamanya sejak melarikan diri ke India, Hasina berkata, ramai orang awam mati ‘atas nama revolusi’ pada Julai lepas.

“Saya menuntut agar mereka yang terlibat dalam pembunuhan dan vandalisme ini disiasat dengan sewajarnya dan pesalah dikenal pasti serta dihukum sewajarnya,” katanya menerusi platform X semalam.

Kenyataan tersebut dikeluarkan beberapa jam selepas mahkamah Bangladesh mengarahkan siasatan dilakukan terhadap peranan Hasina dalam kematian seorang pemilik kedai runcit semasa protes itu.

Lebih 300 orang terkorban dalam demonstrasi yang bermula dengan bantahan terhadap kuota pekerjaan sektor awam, sebelum ia meningkat menjadi gerakan lebih besar yang menuntut penggulingan Hasina.

Sementara itu, dakwaan kes pembunuhan yang dikenakan terhadap Hasina diterima oleh ketua Mahkamah Majistret Metropolitan Dhaka, manakala polis telah diarahkan untuk membuka kertas siasatan.

Enam lagi individu yang difailkan siasatan dalam kes tersebut termasuk setiausaha agung parti Liga Awami pimpinan Hasina, Obaidul Quader, bekas menteri dalam negeri, Asaduzzaman Khan Kamal dan beberapa pegawai kanan polis.

Pendakwa raya berkata, seorang pemilik kedai runcit, Abu Saeed ditembak ketika melintas jalan pada 19 Julai lalu semasa polis melepaskan tembakan ke arah penunjuk perasaan di kawasan Mohammadpur, Dhaka.

Pengadu menyalahkan Hasina dalam kes tersebut kerana mengarahkan tindakan tegas diambil bagi mengawal keganasan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI