fbpx

Banci Pertanian Johor 2024 sudah capai 36.6 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pesuruhjaya Banci Pertanian 2024, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin (tengah) bergambar dengan sebahagian nelayan ketika turun ke lapangan membuat bancian di Johor Bahru baru-baru ini.

PASIR GUDANG – Banci Pertanian 2024 yang dikendalikan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) kini telah memasuki hari ke-34 sejak mula dilaksanakan pada 7 Julai 2024 lalu di seluruh negara.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh DOSM Negeri Johor, sebanyak 71,842 tempat kediaman (TK) iaitu 36.6 peratus telah dilawati sehingga 8 Ogos lalu.

“Banci Pertanian 2024 di Johor ini akan melibatkan 193,095 TK dan 3,134 pertubuhan perniagaan yang terlibat dalam aktiviti pertanian.

“Bagi pertubuhan perniagaan pula, sebanyak 613 pertubuhan iaitu 19.6 peratus telah selesai dilawati,” katanya.

Kenyataan itu memaklumkan, Banci Pertanian 2024 ini memainkan peranan penting dalam perancangan dan pembangunan negara.

Mohd. Uzir sempat bergambar dengan hasil tangkapan nelayan.

“Banci ini juga menyediakan maklumat diperlukan untuk ­menyediakan petunjuk pertanian bagi tujuan sosio ekonomi yang membolehkan kerajaan membuat keputusan lebih baik dalam melaksanakan dasar-dasar pertanian khususnya untuk ne­geri Johor.

“Ia juga membantu mengenal pasti perkembangan sektor pertanian negara, termasuk tanaman, ternakan, perikanan, perhutanan dan pembalakan,” ujarnya.

Tambah kenyataan sama, program pemukiman Banci Pertanian 2024 itu diadakan di semua daerah di Johor yang melibatkan agensi-agensi sektor pertanian serta pejabat-pejabat daerah.

“Kejayaan Banci Pertanian 2024 memerlukan kerjasama semua pengusaha isi rumah, institusi dan pertubuhan yang menjalankan aktiviti pertanian,” tambahnya.

Menurut laporan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sektor pertanian di Johor menyumbang 11.6 peratus kepada KDNK negeri, dengan nilai tambah sebanyak RM17.21 bilion.

Subsektor tanaman adalah penyumbang terbesar dalam sektor pertanian di negeri ini, dengan sumbangan sebanyak 67.88 peratus diikuti oleh subsektor ternakan dengan 25.36 peratus, dan subsektor perikanan dengan 6.59 peratus pada tahun 2023.

Untuk rekod, DOSM telah me­lancarkan OpenDOSM NextGen sebagai medium yang menye­diakan katalog data dan visua­lisasi bagi memudahkan pengguna menganalisis pelbagai data dan ia boleh diakses melalui portal https://open.dosm.gov.my.

Orang ramai yang perlukan keterangan lanjut tentang Banci Pertanian 2024, boleh melayari https://www.myagricensus.gov.my/ maklumat lanjut. )-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI