KUALA LUMPUR – Serangan bertubi-tubi ‘tentera bawang’ di media sosial Shinji Nakano agak keterlaluan hingga mampu menjejaskan hubungan baik pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dengan pelumba Jepun tersebut.
Shah Firdaus mengakui tindakan netizen Malaysia sebagai sesuatu yang memalukan apatah buat dirinya kerana Nakano menganggap orang Malaysia adalah yang baik-baik.
Tegas Shah Firdaus, dia telah berjumpa dengan Nakano kerana rakannya itu mengalami kecederaan patah bahu dan memohon maaf atas apa yang berlaku selepas pelanggaran pada aksi final keirin di Olimpik Paris 2024.
Katanya, permohonan maaf Nakano di TikTok adalah palsu dan direka oleh orang yang tidak bertanggungjawab.
“Malam semalam (kelmarin) dia mesej saya, kata dia kena serang di akaun media sosialnya. Saya pun tak tahu, apabila saya tengok, sudah berpuluh ribu komen.
“Saya harap netizen berhenti sebab perkara itu menjejaskan kami juga. Perkara itu memang berlaku dan ada ‘body contact’ dan bagi saya adalah perkara biasa dalam keirin. Sebenarnya dia tak berniat nak ‘hentam’ saya, itu sebab ‘G-force’.
“Bila ada ‘body contact’, ‘G-force’ itu nampak seperti dia naik tetapi dalam keirin benda itu biasa, tinggal jatuh atau tidak sahaja.
“Yang pasti, itu bukan TikTok dia (Nakano), dia cakap perkara itu dengan saya. Kami jumpa selepas perlumbaan, (akaun) TikTok itu, biasalah orang buat cerita. Tapi saya dengan dia tak ada masalah.
“Yang buat saya terasa, dia ingat orang Malaysia baik-baik sebab saya baik dengan dia. Kalau saya ke Jepun, dia bawa saya jalan semua. Bila dia berasa begitu, saya rasa serba salah. Dia mesej saya, dia ingat rakyat Malaysia baik-baik, saya macam malunya,” kata Shah Firdaus ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.
Kontroversi pelanggaran Nakano dan Shah Firdaus menimbulkan kemarahan netizen sehingga menyerang akaun media pelumba Jepun sebelum tercetusnya satu hantaran permohonan maaf kepada Malaysia di akaun Tik Tok yang kononnya milik pelumba Jepun berkenaan. -KOSMO! ONLINE