MELAKA – Penahanan seramai 36 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam serbuan oleh Jabatan Imigresen (JIM) Melaka awal pagi tadi membongkar tindakan keji ejen yang bukan sahaja menipu untuk memberikan kerja, tetapi turut ‘menyumbat’ mereka di dalam bilik kecil dan kotor.
Dalam serbuan dijalankan hampir empat jam sehingga pukul 2 pagi tadi, di sekitar Melaka Tengah itu, kesemua PATI ditahan adalah warga Bangladesh berusia antara 25 hingga 47 tahun.
Pengarah JIM Melaka, Anirwan Fauzee Mohd. Aini berkata, kesemua warga asing itu ditahan atas kesalahan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen atau pas yang sah.
“Sebuah premis tempat tinggal pekerja warga asing diserbu ketika semua sedang nyenyak tidur. Mereka mendakwa dibiarkan tinggal dalam bilik sempit dan kotor itu selama 15 hari dan tidak diberi sebarang pekerjaan seperti dijanjikan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Katanya, kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Melaka untuk tindakan selanjutnya sebelum dihantar ke depot tahanan imigresen. – KOSMO! ONLINE