PETALING JAYA – Lembaga Tabung Haji (TH) memaklumkan sehingga kini seramai 302,000 pendepositnya telah mendaftarkan diri mereka dalam pelan pelindungan mampu milik, TH Khairat.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman berkata, daripada jumlah itu, kira-kira 53 orang waris pendeposit telah menerima manfaat melalui pelan itu sejak ia dilancarkan pada 31 Julai tahun lalu.
Jelasnya, manfaat yang telah dibayar kepada semua waris tersebut adalah sebanyak RM636,000.
Tambah Syed Hamadah, bayaran tuntutan TH Khairat yang diterima oleh penerima manfaat itu sedikit sebanyak dapat membantu mereka menghadapi masa-masa sukar.
“Serahan tuntutan TH Khairat daripada pengendali Takaful kepada TH dalam majlis ini juga sebagai simbolik yang mencerminkan komitmen TH bersama Takaful Malaysia (Syarikat Takaful Malaysia Keluarga Berhad) dan HLM Takaful (Hong Leong MSIG Takaful Berhad).
“Ia bagi memastikan setiap tuntutan yang layakdiproses dengan cepat supaya dapat disalurkan kepada waris atau penerima
manfaat dengan kadar segera,”katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu katanya, menerusi pelan tersebut, para pendeposit TH dan menawarkan pelindungan kematian atau hilang upaya kekal sebanyak RM12,000 dengan bayaran serendah RM28 setahun.
Pelan tersebut dikendalikan oleh pengendali takaful yang dilantik iaitu Takaful Malaysia dan HLM Takaful.
Mengulas lanjut, Syed Hamadah berkata, TH mengalu-alukan pendepositnya untuk melanggan TH Khairat ini demi manfaat orang yang tersayang dengan bayaran yang rendah dan mampu dimiliki oleh setiap lapisan masyarakat.
“TH akan terus komited dan berusaha memberikan perkhidmatan terbaik dengan
meningkatkan kualiti perkhidmatan sedia ada dan memperkenalkan perkhidmatan baharu yang memberi manfaat kepada pendeposit pada masa akan datang,”ujarnya.
Untuk maklumat lebih lanjut mengenai perkhidmatan ini, sila layari www.tabunghaji.gov.my atau hubungi Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-6207 1919. -KOSMO! ONLINE