fbpx

Warburg Pincus jerat mangsa hingga rugi RM21.9 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ramli berkata, sebanyak 44 kertas siasatan dibuka babit penipuan pelaburan Warburg Pincus. FOTO oleh KOSMO!/ ILHAM ZAKARIA

KUALA LUMPUR – Sindiket penipuan pelaburan ‘Warburg Pincus’ mengakibatkan kerugian RM21.9 juta susulan 44 kertas siasatan dibuka Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah dan Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya menahan 10 individu tempatan termasuk lima wanita selepas beberapa serbuan dijalankan di Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Perak, Kedah, Sabah dan Sarawak pada 30 dan 31 Julai lalu.

Katanya, suspek berusia 21 hingga 52 tahun itu dipercayai berperanan sebagai pemilik syarikat serta perniagaan dan pengarah syarikat bagi menjayakan kegiatan tersebut.

Menerusi serbuan itu, sebanyak lapan telefon bimbit, satu kad ATM dan salinan dokumen pendaftaran syarikat dirampas.

“Dengan menggunakan nama syarikat pelaburan yang terkemuka dunia iaitu ‘Warburg Pincus’ untuk meyakinkan mangsa, kita percaya mereka telah beroperasi sejak awal tahun ini dan beroperasi sepenuhnya secara dalam talian menggunakan Facebook dan WhatsApp.

“Iklan promosi pelaburan dibuat menggunakan sistem algorithma Facebook manakala pulangan setinggi 11 hingga 15 peratus sebulan ditawarkan kepada pelabur.

“Sindiket juga menawarkan khidmat ‘cikgu trading’ untuk membimbing pelabur seterusnya meminta mereka memuat turun aplikasi palsu yang dihantar melalui pautan WhatsApp.

“Kemudian, mangsa akan diarahkan mendepositkan wang ke akaun keldai atas nama syarikat dan perniagaan sebelum boleh memulakan pelaburan. Di akhirnya, mangsa tidak dapat membuat sebarang pengeluaran keuntungan,” ujarnya ketika sidang akhbar di Menara KPJ di sini, hari ini.

Ramli berkata, 20 akaun bank milik pelbagai perniagaan dan syarikat telah dikenalpasti disalahgunakan sebagai akaun keldai untuk menerima wang daripada mangsa terlibat.

“Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan sehingga kini, siasatan telah berjaya membuat penyitaan di bawah Seksyen 50(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 terhadap 35 akaun bank bernilai lebih RM162,000.

“Suka saya ulangi, apa jua bentuk tawaran pelaburan melalui platform media sosial perlu dianggap sebagai penipuan. Tidak perlu ada kegusaran atau pertimbangan kepada perkara ini kecuali ia adalah ‘outright cheating’.

“Masyarakat dirayu agar faham dan jelas berkenaan perkara ini. Sekiranya ingin membuat pelaburan, lakukan secara selamat melalui skim pelaburan yang diiktiraf oleh badan-badan penguatkuasa pelaburan seperti Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Bank Negara Malaysia,” pesannya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI