MOSCOW – Russia kelmarin mengaku bahawa tentera Ukraine mara lebih jauh ke dalam wilayah Kursk dalam serangan yang didakwa oleh seorang pegawai tinggi Kiev, bertujuan mengganggu kestabilan Moscow.
Dalam pada itu, kedua-dua negara saling menyalahkan berhubung kebakaran loji nuklear Zaporizhzhia di selatan Ukraine yang diduduki tentera Russia.
Perkembangan itu berlaku selepas badan pemerhati nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, tiada tanda-tanda kebocoran nuklear di loji tersebut.
Beberapa hari sebelumnya, Kiev telah mengerahkan beribu-ribu askar untuk melancarkan operasi ke dalam wilayah Russia, kata seorang pegawai keselamatan Ukraine kepada AFP.
Ukraine mengambil inisiatif tersebut selepas tentera tentera Russia meneruskan kemaraan yang perlahan selama beberapa bulan.
“Matlamat operasi ini untuk meregangkan kedudukan musuh dan mencetuskan kerugian maksimum selain menggugat kestabilan di Russia kerana Moscow tidak dapat melindungi wilayah sendiri,” kata seorang pegawai keselamatan itu di Ukraine.
Serangan itu mencetuskan kejutan terhadap tentera Russia kerana Moscow tidak melakukan persediaan untuk menghadapinya.
Dalam perkembangan terkini, Moscow mengerahkan pasukan tentera simpanan yang dibantu kereta kebal, pesawat, unit artileri dan dron dalam usaha menangkis serangan Kyiv.
Namun, Moscow mengaku bahawa Ukraine telah dapat menembusi wilayahnya sehingga jarak 30 kilometer di beberapa lokasi.
Dalam taklimat harian mengenai situasi di wilayah Kursk, barat Russia, kementerian pertahanan berkata, pihaknya telah menggagalkan percubaan tentera Ukraine untuk menceroboh lebih jauh ke dalam wilayah Russia dengan menggunakan kenderaan berperisai.
Bagaimanapun, kementerian tersebut berkata, beberapa pasukan tentera Kyiv kini menghampiri perkampungan Tolpino dan Obshchy Kolodez, kira-kira 25 kilometer dan 30 kilometer dari sempadan Russia-Ukraine.
Pegawai Ukraine sama juga berkata, dakwaan Moscow bahawa Kiev telah mengerahkan 1,000 askar dalam operasi tersebut adalah tidak tempat.
“Ia lebih ramai lagi. Beribu-ribu (askar),” ujarnya.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy kemudian menyalahkan bedilan yang mengenai menara penyejuk di loji nuklear Zaporizhzhia sebagai perbuatan tentera Kremlin.
Bagaimanapun, Moscow mendakwa serangan itu dilakukan oleh tentera Ukraine.
Zelenskyy menulis dalam catatan media sosial bahawa Russia telah memulakan bedilan di loji itu selain menuduh Moscow cuba memeras ugut Kiev.
“Tiada kesan terhadap keselamatan nuklear,” kata satu kenyataan daripada Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang mempunyai pakar di lokasi tersebut.
Ukraine dan Russia turut menyatakan bahawa tiada peningkatan dalam tahap radiasi di loji sama.
Dalam satu kenyataan kemudian, IAEA berkata, ia telah meminta pasukannya mendapatkan akses segera ke menara penyejuk yang terbakar untuk menilai kerosakan.
Seorang pegawai yang ditempatkan di Moscow, Vladimir Rogov menjelaskan di platform Telegram bahawa kebakaran di loji itu telah dipadamkan sepenuhnya.\
Russia menyerang Ukraine pada Februari 2022 dan menguasai kawasan timur dan selatan negara jirannya itu. – AFP