fbpx

Syarikat tempatan ambil masa dua tahun bina kapal peronda Tentera Laut Nigeria

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adly (dua dari kiri) melawat kapal peronda 38M Sea Eagle Tentera Laut Nigeria yang disiapkan oleh syarikat tempatan di Langkawi, hari ini. - Foto oleh SHAHIR NOORDIN / KOSMO!

LANGKAWI – Syarikat pembinaan dan pembaikan kapal tempatan, Northern Shipyard Sdn. Bhd. bersama KN Aluminium & Engineering Sdn. Bhd. yang berpangkalan di pulau ini berjaya menyiapkan dua kapal peronda untuk Tentera Laut Nigeria.

Pembinaan dua kapal 38M Sea Eagle itu menggunakan kepakaran 85 pekerja tempatan yang sebahagiannya merupakan anak muda terutama dalam kerja-kerja kimpalan pada struktur badan kapal tersebut.

Syarikat berkenaan sebelum ini turut berjaya membina empat bot peronda pesisir pantai The Great Manta yang kalis peluru dan berkelajuan maksimum 50 knot pada 2020 sebelum menyerahkan aset itu kepada Tentera Laut Nigeria.

Pengurus Perhubungan Korporat Northern Shipyard Sdn. Bhd., Kapten Dr. Baharin Baharom berkata, kejayaan menyiapkan dua kapal berukuran 38 meter panjang dan tujuh meter lebar serta berkelajuan maksimum 29 knot itu membuktikan keupayaan syarikat tempatan dalam industri pembinaan kapal.

“Kita berjaya menyiapkan empat bot pesisir pantai Tentera Laut Nigeria pada 2020, diikuti dua kapal peronda untuk kegunaan tentera dari negara sama. Dua kapal ini berjaya disiapkan hanya dalam masa 24 bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Bot Peronda 38M Sea Eagle yang dirasmikan Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari di Northern Shipyard Sdn. Bhd., di sini hari ini.

Kapal Sea Eagle itu menggunakan dua enjin MTU buatan Jerman dengan kelajuan maksimum 29 knot, berupaya menghasilkan lima tan air bersih sehari serta mempunyai tangki minyak berkapasiti 42,980 liter diesel yang mana ia mampu berlayar selama lima hari tanpa henti.

Kata beliau, pencapaian itu sekali gus menunjukkan keupayaan tenaga kerja tempatan dalam pembinaan kapal untuk kegunaan tentera.

“Kita mempunyai 85 pekerja yang merupakan anak tempatan dengan lima daripadanya adalah wanita yang masih muda sebagai pakar kimpalan sepanjang pembinaan dua kapal tersebut.

“Industri pembinaan dan pembaikan kapal ini pada masa sama menawarkan peluang pekerja kepada lepasan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dalam negara,” jelasnya.

Menurutnya, pihaknya berbesar hati kerana Nigeria yang mempunyai jumlah penduduk lebih 200 juta memberi kepercayaan besar kepada syarikat berpangkalan di Langkawi itu untuk membina aset ketenteraan mereka.

Sementara itu, Pengarah Urusan KN Aluminium & Engineering Sdn. Bhd., Kee Chee Kheong berharap agar kerajaan dapat memberi peluang kepada syarikat tempatan untuk membina bot atau kapal bagi kegunaan tentera atau agensi penguatkuasaan maritim negara.

“Kos pembinaan (bot dan kapal) semestinya akan menjadi lebih murah kerana kita membinanya di sini dengan menggunakan kepakaran anak tempatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI