KUALA LUMPUR – Skuad kriket Selangor memulakan kempen Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak dengan kemenangan tipis ke atas Johor dalam perlawanan pembukaan yang berlangsung di Padang Kriket dan Ragbi Petra Jaya, Kuching.
Selangor berjaya mencatat kemenangan 64/8 berbanding 62/10 yang direkodkan oleh Johor sekali gus memastikan mereka bermula langkah kanan dalam saingan pertama sebentar tadi.
Penolong jurulatih Selangor, Haiqal Mohd. Khair mengakui bahawa kemenangan dengan hanya perbezaan dua wiket memberikan suntikan semangat yang besar kepada pasukan terutamanya apabila berhadapan dengan wiket yang perlahan dan mencabar.
“Kemenangan ini adalah langkah awal yang sangat penting. Tidak kira bagaimana cara kita menang, yang pasti, kita mencatat kemenangan hari ini. Ia menjadi dorongan besar buat pasukan untuk terus berjuang dalam perlawanan seterusnya,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Mengulas mengenai persiapan pasukan untuk aksi seterusnya, Haiqal percaya bahawa pengalaman daripada perlawanan tersebut akan memberi manfaat kepada pemain-pemain muda kriket Selangor.
“Perlawanan sengit seperti ini adalah ujian awal yang kita perlukan untuk membiasakan pemain dengan tekanan dan situasi yang tidak dijangka. Pengalaman ini akan memberi manfaat besar dalam membentuk mentaliti juara,” tambahnya.
Dalam masa sama, Haiqal turut memaklumkan bahawa skuadnya dijadualkan bertemu Kedah pada Khamis ini dan berharap anak-anak buahnya dapat mengekalkan momentum kemenangan.
Aksi lain hari ini turut menyaksikan Terengganu menundukkan Perak dengan keputusan 111/8 berbanding 110/5, sementara Kelantan menang besar ke atas Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan keputusan 203/8 berbanding 84/10. – KOSMO! ONLINE