LAWAS – Seorang lelaki meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh ke dalam anak sungai kecil ketika meniti titi kayu di kebunnya di Sungai Arur, Long Tuma, Jalan Lawas Damit di sini pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, mayat mangsa berusia 56 tahun dijumpai oleh anaknya kira-kira pukul 7.40 pagi dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri di dalam anak sungai kecil sebelum menghubungi pihak bomba.
“Semasa kejadian, mangsa membawa bakul besar untuk menyimpan buah ketika melalui titi tersebut untuk dibawa pulang ke rumah.
“Pasukan bomba yang tiba di lokasi bertindak mengangkat mangsa menggunakan pengusung dan disahkan meninggal dunia oleh paramedik,” katanya. – KOSMO! ONLINE