fbpx

Sindiket along makin ganas, samun peminjam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azizi (dua dari kanan) melihat barang rampasan daripada ah long yang ditahan pihak polis di dua lokasi berasingan pada Jumaat lalu dan kelmarin. - Foto MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

IPOH – Polis menumpaskan sindiket memberi pinjaman wang tanpa lesen atau ah long yang bertindak ganas memecah masuk dan menyamun rumah peminjam selepas menahan tiga individu termasuk seorang wanita dalam dua tangkapan berasingan baru-baru ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, tangkapan terhadap ketiga-tiga suspek itu dibuat susulan laporan polis oleh mangsa berusia 20 tahun, Khamis lalu.

Katanya, mangsa yang juga lelaki warga tempatan itu mendakwa telah diserang empat individu ketika berada di rumah di Ayer Tawar, Manjung pada pukul 12.30 tengah malam, hari sama.

“Ketika pengadu bersama keluarga dan dua rakan sedang makan, mereka telah terdengar ketukan dari pintu belakang rumah dan sebaik sahaja pintu dibuka, empat individu menyerbu masuk dengan berpakaian hitam, memakai topi keledar dan pelitup muka.

“Seorang daripada suspek yang membawa kayu telah memukul belakang badan pengadu manakala seorang lagi rakannya bertindak mengambil pisau yang ada di atas meja makan dan menoreh belakang badan lelaki itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Mengulas lanjut Azizi berkata, berlaku pergelutan antara suspek dan keluarga mangsa ketika mereka menyelamatkan diri dengan masuk ke dalam bilik.

Katanya, kejadian itu juga menyebabkan kakak dan ibu mangsa serta dua rakannya cedera di bahagian belakang badan, tangan kiri dan kanan serta kaki.

“Kesemua suspek beredar selepas ibu mangsa menjerit meminta tolong dan mereka melarikan diri dengan menaiki dua buah kenderaan iaitu sebuah Toyota Alphard dan Perodua Myvi.

“Jumlah kerugian yang dialami mangsa dan keluarga akibat kejadian itu ialah wang tunai RM5,000 dan tiga unit telefon bimbit,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI