PENGHASILAN batik Jawa Barat boleh merupakan satu seni turun-temurun yang berasal dari wilayah Jawa Barat di Indonesia. Berbeza dengan penghasilan beberapa batik di kawasan Jawa Timur dan Jawa Tengah, corak pada batik Jawa Barat dilihat lebih istimewa kerana mempunyai ciri-ciri tersendiri.
Berikutan sifat unik tersebut, Kedutaan Besar Republik Indonesia di Kuala Lumpur dengan kerjasama West Java Tourism dan AirAsia baru-baru ini telah membawa 10 orang peserta yang terdiri daripada pengamal media dan pempengaruh media sosial untuk merasai pengalaman itu.
Menerusi lawatan yang memfokuskan kepada penghasilan batik di wilayah Cirebon itu, peserta terlibat turut diberi peluang merasai pengalaman mencanting batik secara tradisional dengan menggunakan lilin panas.
Menurut salah seorang peserta, Zati Syazwina Mohd. Jamil, peluang mencanting batik menggunakan kaedah tradisional merupakan satu pengalaman yang unik, selain memerlukan kesabaran tinggi.
“Sebelum ini, saya hanya pernah mengecat batik, jadi proses mencanting adalah pengalaman baharu.
“Proses ini memang memerlukan kesabaran tinggi, selain perlu memastikan tangan stabil bagi memastikan lilin panas dapat diletakkan pada garisan disediakan,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Jelas gadis berusia 26 tahun itu, proses tersebut bukan sahaja mengajar dirinya untuk bersikap sabar, malah memahami bahawa sesuatu yang baik memerlukan masa dan pengorbanan.
Ujar Zati Syazwina yang juga merupakan seorang pempengaruh media sosial, proses mencanting itu juga dianggap sebagai terapi kepada dirinya dan ia harus dipelihara agar tidak ditelan zaman.
Untuk rekod, batik dihasilkan di Jawa Barat khususnya Cirebon banyak menggunakan motif digelar ‘megamendung’ dengan warna utama seperti biru, merah jambu dan hijau.
Motif megamendung menterjemahkan lukisan batik yang menggambarkan awam hujan.
Ia merupakan simbol kepada kesuburan dan permulaan kepada kehidupan.
Dalam pada itu, mengulas mengenai bengkel lukisan batik, pegawai khidmat pelanggan di Batik Trusmi, Putri Liyani Alfianto menjelaskan, proses penghasilan lukisan batik memerlukan masa sekitar enam bulan untuk disiapkan.
Susulan itu, katanya, proses itu memerlukan tahap kesabaran dan fokus yang tinggi bagi memastikan batik dihasilkan berkualiti dan memberi perasaan positif kepada pemakainya.
“Selain menggunakan motif megamendung, corak-corak lain yang turut menjadi pilihan adalah berasaskan flora seperti lukisan berbentuk bunga serta daun-daun.
“Jadi, orang ramai yang berminat untuk menyertai bengkel ini, harga ditawarkan untuk mencanting batik amat berpatutan.
“Ia bermula serendah RM10.50 untuk lukisan ukuran kecil,” jelasnya.