fbpx

RTG mampu pacu emas Olimpik LA28

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANIQ mempunyai potensi cerah untuk membutirkan pingat emas pada edisi LA28 nanti. - AFP

TIADA masa untuk meratapi kekecewaan berikutan kegagalan kontinjen Malaysia untuk menghadiahkan pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik Paris 2024.

Sememangnya kecewa tetapi semua pihak harus duduk semeja mencari di mana silapnya kontinjen Malaysia masih belum berupaya untuk membutirkan kilauan pingat emas di temasya sukan terbesar dunia itu.

Jika dilihat, negara Asia Tenggara lain terus cemerlang apabila Filipina berjaya meraih dua pingat emas dan dua gangsa.

Indonesia terus mencuri perhatian apabila turut membawa pulang dua pingat emas menerusi acara sukan baharu dipertandingkan iaitu wall climbing, Veddriq Leonardo dan Rizki Juniansyah (angkat berat).

Tidak lupa juga, Thailand membawa pulang satu pingat emas menerusi sukan taekwondo, Panipak Wongpattanakit selain turut meraih tiga perak dan dua gangsa.

VEDDRIQ mencipta kejutan meraih pingat emas buat Indonesia dalam sukan wall climbing. – AFP

Oleh itu, perjuangan memburu emas tidak boleh terhenti di Paris kerana persiapan harus dimulakan sekarang terutama kepada atlet-atlet muda yang menyerlah pada Olimpik Paris.

Kesungguhan yang dipamerkan atlet-atlet muda yang mendapat bantuan daripada program Road to Gold (RTG) sewajarnya dipuji selepas menunjukkan peningkatan terbaik.

Sebagai rekod, Malaysia membawa pulang dua pingat gangsa pada kempen kali ini menerusi badminton beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan perseorangan lelaki, Lee Zii Jia.

Selain itu, tiga rekod kebangsaan berjaya dipecahkan di Paris menerusi jaguh angkat berat negara, Aniq Kasdan dalam kategori 61 kilogram (kg) menerusi angkatan snatch 130kg untuk angkatan keseluruhan 297kg.

SHAH (kanan) berjaya meloloskan diri ke pusingan akhir keirin Olimpik Paris. – AFP

Legenda berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang turut cemerlang memadam rekod kebangsaan pecut lelaki apabila melakukan 9.402 saat (s) dan Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri dalam acara pecut wanita (10.709s).

Lima catatan peribadi terbaik turut dicatat atlet negara menerusi Azizulhasni, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Izzah bagi sukan berbasikal trek selain Aniq dan pemanah, Syaqiera Mashayikh.

Keputusan itu memberi petanda positif pemburuan pingat emas pertama menghadapi edisi seterusnya iaitu Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) di Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, mereka memerlukan dorongan ke arah persiapan ke temasya LA28 nanti terutama menerusi program RTG untuk menyediakan atlet terbaik.

PEARLY (kiri) dan Thinaah terlepas peluang meraih pingat gangsa pada edisi Paris kali ini. – AFP

Antara yang mencuri tumpuan adalah penampilan sulung gandingan beregu wanita negara, Pearly Tan-M. Thinaah apabila berjaya melepasi kumpulan maut dan terus melangkah ke pentas separuh akhir.

Tetapi sayang mereka tumpas kepada pasangan No. 1 dunia dari China, Qing Chen-Yi Fan di separuh akhir dan impian meraih gangsa juga musnah apabila tewas kepada pasangan Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida.

Dalam masa sama, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyifatkan Aniq sebagai ikon baharu sukan negara biarpun terlepas untuk merangkul pingat gangsa acara angkat berat.

“Walaupun baru sahaja dimasukkan dalam program RTG pada November lalu, beliau (Aniq) sudah menunjukkan peningkatan yang amat ketara daripada ranking ke-10 kepada ‘top 4’ di Sukan Olimpik.

“Beliau telah menunjukkan bahawa sukan angkat berat mempunyai potensi raih pingat emas di LA2028 nanti,” kata Hannah.

HANNAH (kanan) bersama Zii Jia yang berjaya menyumbangkan pingat gangsa buat negara pada edisi Paris kali ini. – FB HANNAH YEOH

Biarpun skuad berbasikal gagal membawa pulang pingat, namun tiga pelumba negara diketuai Azizulhasni tetap cemerlang biarpun dibatalkan penyertaannya.

Nasib sama juga dialami Shah Firdaus apabila terlepas gangsa selepas terjatuh pada aksi final keirin kelmarin kerana terlibat dalam pelanggaran dengan pelumba Jepun.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Abdul Rashid Yaakub berkata, perjalanan ke LA28 telah pun bermula menerusi RTG-Fast Track.

“Pihak MSN telah memulakan program fast track RTG bagi LA28 bagi sukan terjun dan skuasy, mungkin akan ada lagi penambahan kerana MSN akan mengenal pasti atlet yang berpotensi yang berada di ranking top 20 dunia untuk diletakkan dalam program fast track ini nanti.

“Selain itu, pihak MSN akan memperbaiki pelaksanaan program podium yang telah berjalan sejak 2016 lagi agar lebih ramai atlet dipersiapkan ke LA28,” katanya.

AIRA antara empat pemain skuasy dalam senarai RTG-Fast Track.

Atlet-atlet di bawah RTG-Fast Track akan menerima geran latihan individu berbentuk bantuan kejurulatihan khusus, peralatan latihan dan pemulihan, perkhidmatan sokongan perubatan dan sains sukan, pendedahan latihan luar negara serta khidmat kepakaran teknikal dalam sukan masing-masing.

Bagi skuasy, empat atlet iaitu S. Sivasangari, Ng Eain Yow, Aifa Azman dan Aira Azman telah terpilih dan program latihan peribadi mereka telah diperincikan.

Biarpun usia RTG tidak sampai dua tahun ditubuhkan, namun program tambahan tersebut mula mencipta impak yang positif.

Tidak mustahil dalam tempoh empat tahun sebelum LA28 bermula dapat melonjakkan prestasi atlet-atlet negara pada tahap tertinggi sekali gus membolehkan mereka meraih emas pertama Malaysia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI