KUALA TERENGGANU – Padah memiliki dadah jenis methamphetamine tiga tahun lalu, seorang penganggur dihukum penjara lapan tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani memjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mohd. Yusrikhairi Yusof, 39, membuat pengakuan bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki methamphetamine seberat 52.84 gram di sebuah rumah di Marang pada pukul 9.30 malam, 7 Mac 2021.
Mohd. Yusrikhairi didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan sebat sekurang-kurangnya 10 kali jika sabit kesalahan.
Mahkamah mengarahkan hukuman penjara berjalan bermula dari tarikh tangkapan pada 7 Mac 2021. – KOSMO! ONLINE