fbpx

Pendapatan boleh agih KWSP RM36.70 bilion, meningkat 29 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merekodkan jumlah pendapatan boleh agih sebanyak RM36.70 bilion bagi enam bulan berakhir 30 Jun lalu, meningkat 29 peratus daripada RM28.40 bilion dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Pendapatan boleh agih ini tidak termasuk keuntungan mark-to-market (MTM) bagi sekuriti yang belum direalisasikan.

Jumlah pendapatan boleh agih KWSP bagi suku kedua 2024 selepas turun nilai kos adalah RM17.50 bilion, naik 25 peratus daripada RM13.98 bilion pada suku yang sama tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, keadaan pasaran yang menggalakkan di Malaysia dan global menyumbang pertumbuhan 29 peratus dalam pendapatan boleh agih pada separuh pertama 2024, manakala aset di bawah pengurusan meningkat kepada RM1.21 trilion.

Menurutnya, pasaran Malaysia telah mendapat manfaat daripada peningkatan sentimen pelabur terhadap dasar berorientasikan pertumbuhan dan pembaharuan fiskal.

Katanya, pasaran global seperti AS pula mendapat manfaat daripada keadaan makroekonomi yang kukuh, penurunan inflasi dan jangkaan permulaan kitaran pengurangan kadar faedah.

“Walaupun keadaan pasaran yang agak tenang, risiko dilihat akan kekal berikutan penjualan baru-baru inidalam pasaran global dan peningkatan mendadak dalam turun naik yang disebabkan oleh peserta pasaran yang melepaskan beberapa kedudukan yang tertumpu dan sesak.

“Sebagai pelabur jangka panjang, KWSP akan meneruskan strateginya untuk membina portfolio yang pelbagai didorong oleh alokasi aset strategiknya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Ahmad Zulqarnain berkata, pelaburan Ekuiti terus menjadi penyumbang utama pendapatan bagi suku kedua 2024 pada RM10.75 bilion selepas turun nilai kos, merangkumi 61 peratus daripada jumlah pendapatan boleh agih pada suku tahun dikaji.

“Penurunan nilai bagi tempoh yang dikaji adalah kecil pada RM0.69 bilion, disebabkan pengurusan portfolio aktif oleh pengurus dana dan prestasi pasaran ekuiti keseluruhan yang lebih baik,” jelasnya.

Ahmad Zulqarnain berkata, pendapatan tetap terus memberikan aliran pendapatan yang stabil, mengurangkan kesan daripada turun naik pasaran jangka pendek dan menyediakan kestabilan untuk pendapatan keseluruhan KWSP.

Katanya, kelas aset ini yang terdiri daripada Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Bon Sama Taraf (MGS), serta Pinjaman dan Bon, menyumbang 33 peratus atau RM5.72 bilion, kepada jumlah pendapatan boleh agih KWSP bagi suka kedua 2024.

“Hartanah dan Infrastruktur mencatatkan pendapatan RM0.50 bilion, manakala Instrumen Pasaran Wangmenjana RM0.53 bilion, sejajar dengan kadar faedah dan keuntungan semasa.

“Setakat 30 Jun, aset pelaburan adalah berjumlah RM1,211.53 bilion, di mana 38 peratus dilaburkan dalam pelaburan luar negara,” ujarnya.

Menurut Ahmad Zulqarnain, pada suku kedua, pelaburan luar negara KWSP menjana RM8.64 bilion atau 49 peratus daripada jumlah pendapatan boleh agih yang direkodkan.

Jelasnya, KWSP memperuntukkan lebih 80 peratus daripada peruntukan tahunan pelaburan baharunya kepada pasaran domestik.

“Daripada jumlah pendapatan boleh agih, RM31.34 bilion dijana untuk Simpanan Konvensional dan RM5.36 bilion untuk Simpanan Shariah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI