MELAKA – “Sekarang ini saya perlu jaga emosi anak-anak, terangkan apa yang terjadi kerana ada ketikanya mereka mahu menonton berita kematian Mama di televisyen,”.
Itu luahan Mohd. Yusoff Mokhtar, 35, suami kepada Istiqomah Ahmad Rozi, 33, guru yang mayatnya ditemui dalam keadaan ngeri apabila beberapa anggota badannya dipotong sebelum disumbatkan di dalam tong sampah di tepi jalan di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang, 31 Disember lalu.
Katanya, anak-anaknya yang berusia 4,6 dan 9 tahun itu juga akan memanggil Mama setiap kali menangis dan situasi itu membuatkan dia berasa lebih hiba mengenangkan apa yang telah terjadi.
“Anak sulung suka curi-curi tengok gambar arwah kerana dia rindu tapi bila perasan saya melihat tindakannya itu, dia akan sembunyikan gambar kerana tidak mahu saya jadi sedih.
“Kalau menangis tu, mereka akan panggil Mama, walaupun sedih saya perlu sembunyikan keperitan hati ini untuk memberi kekuatan kepada anak-anak,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Ujarnya, justeru itu dia merayu kepada masyarakat untuk tidak mencetuskan pelbagai spekulasi termasuk mengaitkan lagi suspek sebagai bekas kekasih isterinya kerana perkara itu hanya menambahkan lagi kesedihan ditanggung ahli keluarga.
“Saya merayu orang ramai supaya tidak mengaitkan lelaki itu sebagai bekas kekasih isteri saya kerana mereka hanya berkawan di maktab perguruan sebelum ini.
“Janganlah ditambah kesedihan kami sebaliknya doakanlah saya dan tiga anak yang masih kecil terus kuat mendepani pembunuhan kejam ini,” ujarnya.
Kosmo! semalam melaporkan pihak polis mengesahkan mayat tanpa kepala, kaki dan tangan yang dijumpai disumbat di dalam tong sampah di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang adalah milik guru wanita, Istiqomah Ahmad Rozi.
Istiqomah yang merupakan guru Sekolah Kebangsaan Kota Masai 3, Johor telah dilaporkan hilang oleh ahli keluarganya selepas keluar bekerja pada 27 Disember tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, hasil siasatan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan oleh Data Bank/DNA (D13) Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman ke atas ibu Istiqomah pada 2 Ogos baru-baru ini adalah sepadan dengan mayat ditemui.
Katanya, susulan itu polis menahan seorang suspek lelaki berusia 37 tahun dan isterinya, 36 tahun di Chemor, Perak selepas disyaki terlibat dalam jenayah tersebut. – KOSMO! ONLINE