fbpx

Pegawai MPAG sebak depan Hakim mengaku ambil rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH diiringi pegawai SPRM ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka. -Foto oleh MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI / KOSMO!

MELAKA – Seorang pegawai tadbir Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) didenda RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku menerima suapan berjumlah RM900 daripada seorang kontraktor pengiklanan bagi mendapatkan kerja-kerja pembekalan sejak dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Rozaiman Rahmat, 45, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan pertama dan ketiga dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Dia bagaimanapun tidak mengaku bersalah bagi pertuduhan kedua.

Berdasarkan kertas pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh iaitu pegawai tadbir di Unit Penguatkuasaan MPAG didakwa telah menerima suatu balasan iaitu wang tunai berjumlah RM400 dan RM2,000 daripada pemilik syarikat pengiklanan, Ong Ah Siong yang mana tertuduh mengetahui individu berkenaan mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Kesalahan itu dilakukan di Maybank Cawangan Alor Gajah, Jalan Simpang Ampat dalam daerah Alor Gajah pada 31 Mac dan 6 September 2022.

Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh sebagai ketua unit di Unit Kutipan Tunggakkan MPAG telah menerima suatu balasan iaitu wang tunai RM500 daripada individu sama di lokasi sama pada 18 April 2023.

Semua kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun dengan denda atau keduanya sekali mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nur Syakila Yaacob mencadangkan denda RM2,000 bagi kesemua pertuduhan dan memohon pertuduhan kedua digugurkan (TIC) berdasarkanSeksyen 171(A) Kanun Tatacara Jenayah.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam kemudian merayu dalam keadaan sebak agar hukumanya diringankan dengan alasan telah insaf dan menyara isteri serta dua anak masih bersekolah, selain bapa dan ibu mentua berusia 74 serta 65 tahun.

Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM1,000 bagi pertuduhan pertama dan ketiga atau dua bulan penjara jika gagal bayar sementara pertuduhan kedua digugurkan seperti dipohon pendakwaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI