TAMPIN – Lebih 800 orang anggota tentera Malaysia dalam Batalion 850-11 (Malbatt 850-11) bagi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unifil) di Lubnan kini berada dalam keadaan selamat.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pihaknya kini sentiasa memantau situasi semasa konflik di negara berkenaan dan memberi jaminan untuk melaksanakan tindakan terbaik berdasarkan situasi.
“Buat ketika ini semua (anggota tentera) dalam keadaan yang selamat dan terpelihara. Walaupun begitu, kami telah pun ada pelan-pelan perancangan sekiranya keadaan menjadi semakin meruncing.
“Kita sentiasa memantau, apa pun keputusan, kita berasaskan kepada perbincangan, perundingan dan keputusan yang dipersetujui oleh pihak Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB),” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Latihan Kuasa Tembakan (LKT) 2024 di Lapang Sasar Gemas, Kem Syed Sirajuddin, Gemas, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Isham Ishak.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Kementerian Pertahanan kini berhubung dengan lebih rapat dengan negara Kuwait berhubung pembilain jet pejuang F/A-18 Hornet milik negara itu untuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
“Daripada sudut teknikal, kami mendapati ia sangat sesuai untuk keperluan dan telah pun memulakan (rundingan) dengan rakan sejawatan (Kuwait).
“Kita telah mula untuk melibatkan diri lebih rapat dengan pihak berkaitan (Kuwait) untuk memahami pendirian dan keputusan mereka mengenai perkara ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE