LONDON – Semua orang di Britain digesa meninggalkan semangkuk air di luar rumah mereka pada waktu malam ketika suhu terus meningkat bagi membolehkan haiwan liar meminumnya, lapor portal berita Daily Express kelmarin.
Gelombang haba menjadi semakin panas dengan suhu meningkat daripada 28 darjah Celsius kelmarin kepada sehingga 34 Celsius pada hari berikutnya tanpa hujan, demikian menurut Pejabat Meteorologi.
Semasa cuaca panas berpanjangan, ada penduduk melaporkan melihat burung jatuh dan mati di jalanan.
Justeru, orang ramai digalakkan untuk meninggalkan air minuman di luar rumah atau pun di taman.
Bekalan air minuman itu diharap dapat membantu menghilangkan dahaga rubah, burung dan lebah.
Seorang pengguna laman sosial Reddit, u/Emehen menulis: “Jika anda mempunyai taman, cuba letakkan semangkuk air. Hidupan liar menderita akibat haba sama seperti kita.”
“Beberapa piring besar diletakkan selepas kerja sebaik sahaja saya melihat siaran ini. Tidak lama kemudian burung-burung mengambil kesempatan (meminum air),” kata netizen lain. – AGENSI