SEBERANG PERAI – Cubaan seorang wanita warga emas meleraikan pergaduhan antara dua beranak berakhir dengan tragedi apabila dia maut ditikam di kepala dengan gunting di sebuah rumah di Pekan Darat di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian pada pukul 11 pagi itu, mangsa yang berusia dalam lingkungan 80-an dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini bagi mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia.
Menurut sumber, berlaku pertengkaran antara anak saudaranya yang berusia lingkungan 40-an dan ibu kandung lelaki itu di kediaman terbabit.
“Mangsa yang berada di situ semasa pertengkaran berlaku cuba meleraikan pergaduhan. Walau bagaimanapun, suspek yang tidak berpuas hati kerana mangsa masuk campur urusannya dengan ibu mengambil gunting lalu menikam kepala mangsa.
“Mangsa yang parah dikejarkan ke hospital, namun disahkan meninggal dunia. Ibu suspek berusia dalam lingkungan 70-an yang turut cedera dan dihantar ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk mendapatkan rawatan,” katanya kepada pemberita petang ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, orang ramai yang melihat kejadian itu turut menghubungi pihak polis dan suspek yang dipercayai mempunyai masalah mental berjaya ditahan petang tadi.
Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad mengesahkan kejadian berlaku dan memberitahu maklumat lanjut berhubung kejadian berlaku.