LANGKAWI – Kementerian Pertahanan (Mindef) mengakui keupayaan syarikat pembinaan dan pembaikan kapal tempatan dalam menghasilkan aset berkualiti tinggi, sekali gus mampu bersaing di peringkat global.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, perkara itu dibuktikan dengan kejayaan syarikat tempatan iaitu Northern Shipyard Sdn. Bhd. dan KN Aluminium & Engineering Sdn. Bhd. menyiapkan empat bot pesisir pantai The Great Manta dan dua kapal peronda 38M Sea Eagle untuk Tentera Laut Nigeria.
“Kapal peronda 38M Sea Eagle bukan sahaja menunjukkan keupayaan industri tempatan, malah membuktikan Malaysia mampu menghasilkan teknologi tinggi yang setaraf dengan negara maju,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Bot Peronda 38M Sea Eagle, di sini hari ini.
Northern Shipyard Sdn. Bhd. dan KN Aluminium & Engineering Sdn. Bhd. yang berpangkalan di pulau ini berjaya menyiapkan dua kapal peronda Tentera Laut Nigeria itu yang berukuran 38 meter panjang dan tujuh meter lebar serta berkelajuan maksimum 29 knot dalam masa dua tahun.
Syarikat berkenaan sebelum ini turut berjaya membina empat bot peronda pesisir pantai The Great Manta yang kalis peluru dan berkelajuan maksimum 50 knot pada 2020 sebelum menyerahkan aset itu kepada Tentera Laut Nigeria.
Kata Adly, kejayaan membina kapal tersebut juga membuktikan kebolehan, kemahiran dan kepakaran rakyat tempatan dalam pembuatan kapal negara.
“Ia bukan sahaja menjadi tulang belakang kepada ekonomi maritim tetapi juga merupakan sektor strategik yang menyumbang kepada ekonomi negara dalam memenuhi keperluan serta cabaran yang dihadapi di perairan serantau dan antarabangsa,” ujarnya.
Menurutnya, tempahan bot dan kapal yang diterima syarikat tempatan itu daripada Tentera Laut Nigeria termasuk yang sedang dalam pembinaan menunjukkan kepercayaan negara luar atas kemampuan dan keupayaan industri tempatan.
Tambahnya, kerajaan akan terus memberi sokongan kepada syarikat-syarikat tempatan yang terlibat dalam sektor tersebut agar dapat berkembang dan bersaing di peringkat global.
“Kerjasama dengan negara-negara sahabat seperti Nigeria juga merupakan langkah penting dalam mengukuhkan hubungan bilateral serta membuka peluang-peluang baharu dalam bidang pembuatan kapal tempatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE