PETALING JAYA – “Mak sayang kakak.”
Demikian antara titipan ucapan ibu kepada penyanyi Shila Amzah iaitu Fauziah Sarman sempena ulang tahun kelahiran ke-34 penyanyi Patah Seribu itu hari ini.
Sama seperti setiap ibu lain, Fauziah, 57, mendoakan agar anak sulungnya itu diberikan kehidupan yang lebih baik dan dihujani kebaikan.
“Semoga umur anakku adalah umur yang berkat dan membawa kebaikan untuk semua serta menjadi kesempatan untuk rajin beribadah.
“Semoga Allah SWT melimpahkan rezeki yang tak putus-putus. Selamat hari lahir anakku, Shila,” katanya dalam Instagram hari ini.
Bekas isteri penyanyi, Datuk ND Lala itu turut berdoa agar pelantun lagu Memori Tercipta menjadi pasangan yang baik untuk suami tercinta.
“Mak doakan kakak menjadi isteri dan ibu yang baik, bahagia di dunia dan di akhirat, amin.
Menerusi hantaran sama, Fauziah turut memuat naik fotonya bersama Shila dan tidak memperincikan sama ada hubungan mereka sudah kembali pulih atau tidak.
Perkongsian tersebut sekaligus mengundang perhatian ramai yang rata-ratanya berdoa agar kemelut antara mereka segera selesai dan berdamai.
“Alhamdulillah masih ada ibu yang mendoakan baik-baik untuk Shila.
“Semoga yang baik-baik untuk kalian berdua, kasih ibu tiada ganti,” komen netizen
Sekitar tahun lalu, Shila terjebak dengan konflik bersama ibu serta dia adiknya, Syada serta Amir Syafiq berkenaan isu penjualan rumah banglo di Hulu Langat.
Sementara pada April lalu, Shila yang ketika itu hamil anak kedua memberitahu belum bersedia untuk bertemu ibunya bagi mengelak sebarang gangguan emosi. – KOSMO! ONLINE