KUALA LUMPUR – Seorang pemandu lori mengalami kecederaan selepas kenderaan dinaiki terbakar akibat kemalangan dalam kejadian berhampiran Plaza Tol Duta menghala utara, di sini, hari ini.
Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian tersebut pada pukul 12.03 tengah hari tadi.
Katanya, seramai sembilan anggota bersama dua buah jentera keluaran Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Hartamas digerakkan bagi memadam kebakaran.
“Setibanya di lokasi, terdapat sebuah lori telah mengalami kemalangan dan terbakar di bahagian hadapan.
“Kemusnahan kebakaran dianggarkan 50 peratus sebelum berjaya dipadamkan,” katanya hari ini.
Jelas kenyataan itu, mangsa seorang lelaki berusia 30-an yang juga pemandu lori mengalami kecederaan di tangan dan kepala diserahkan kepada ambulan untuk mendapatkan rawatan.
“Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya dan operasi tamat pada pukul 1.48 tengah hari. Punca kebakaran masih dalam siasatan,” ujarnya.
Terdahulu, tular video berdurasi 43 saat memaparkan kejadian lori terbabit kemalangan sehingga menyebabkan tumpahan minyak.
Beberapa kenderaan yang melintasi tumpahan minyak tersebut turut mengalami kebakaran sebelum bomba tiba memadamkan kebakaran.-KOSMO! ONLINE