fbpx

Laporan sampel DNA datuk, nenek rentung diperoleh 3 hari lagi – Polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN rumah pusaka yang didiami lima sekeluarga yang musnah dalam kebakaran di Kampung Paya Redan, Pagoh, Muar, Jumaat lalu.

MUAR – Keputusan laporan sampel ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas dua mayat mangsa yang rentung dalam kebakaran rumah di Kampung Paya Redan, Pagoh di sini dijangka diperoleh dalam tempoh tiga hari lagi.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Muhkliz Azman Aziz berkata, laporan sampel yang sudah dihantar ke Jabatan Kimia itu bagi menentukan jantina mayat yang rentung terbabit.

“Pihak polis dan pasukan perubatan masih menunggu laporan sampel DNA daripada Jabatan Kimia dan dijangka dalam tempoh dua atau tiga hari lagi.

“Ini bagi menentukan jantina mayat yang mangsa rentung 80 peratus dalam kejadian kebakaran terbabit,”katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Jenazah kedua-dua warga emas itu, Ara Abdul Hamid, 76, dan suaminya, Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, masih ditempatkan di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini sementara menunggu laporan DNA.

Dalam kejadian pada pukul 1.30 pagi Jumaat lalu, pasangan suami isteri itu ditemui rentung selepas rumah pusaka didiami lima sekeluarga musnah dijilat api.

Kebakaran tersebut menyebabkan mayat kedua-dua mangsa rentung 80 peratus menyebabkan proses pengecaman mayat sukar dilakukan.

Tragedi itu turut menyebabkan cucu pasangan itu, Noradriana Nor Hasyim, 11, terbunuh disyaki dipukul dengan objek tumpul oleh bapa saudaranya yang kini melarikan diri.

Dalam perkembangan sama, Raiz Mukhliz berkata, polis kini masih memburu anak kepada pasangan warga emas itu dikenali sebagai Azman Mohamed Nor, 48, yang disyaki suspek utama kejadian itu.

Sementara itu, Raiz Mukhliz berkata, seorang lagi mangsa, Norazima Mohd Radhi, 14, patah tangan dan cedera di kepala disyaki dipukul bapa saudaranya masih dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI