fbpx

Landasan di Jepun ditutup kerana pesawat SIA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar fail menunjukkan sebuah pesawat Singapore Airlines di landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura pada 15 April lalu. - AFP

TOKYO – Sebuah pesawat Singapore Airlines (SIA) mengalami masalah brek semasa mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita, Tokyo, semalam, lapor saluran berita Channel NewsAsia.

Seorang jurucakap SIA berkata, Penerbangan SQ638 mengalami masalah tersebut ketika  mendarat pada pukul 7.38 pagi (waktu tempatan).

“Pasukan jurutera darat SIA menyelesaikan isu itu dan menggantikan salah satu tayar pada pesawat Boeing 787-10 tersebut,” tambah jurucakap berkenaan.

Asap putih dilaporkan keluar dari enjin pesawat sejurus ia mendarat, namun tiada kebakaran atau penumpang yang cedera.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) dalam satu kenyataan berkata: “Berdasarkan penemuan awal, pesawat tersebut mengalami masalah teknikal pada sistem brek salah satu tayarnya.”

CAAS dan SIA sedang meneliti punca isu teknikal itu, tambah kenyataan sama.

Insiden itu memaksa landasan B ditutup selama kira-kira 50 minit dari pukul 7.40 pagi (waktu tempatan) bagi membolehkan pesawat berkenaan ditunda.

Menurut pegawai lapangan terbang, serpihan tayar ditemui di landasan.

Penerbangan SQ638 membawa 260 penumpang dan 16 anak kapal. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI