fbpx

Kes Hafidz Roshdi, Nurul Shuhada tetap diteruskan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hafidz ketika hadir di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu hari ini. - Foto oleh M. FIRDAUS M.JOHARI / KOSMO!

HULU SELANGOR – Walaupun Nurul Shuhada Mat Shukri telah bertindak menarik balik kes, Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu di sini hari ini dimaklumkan kes pelakon Hafidz Roshdi berhubung pertuduhan mencederakan bekas isterinya itu tetap diteruskan.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya Asmah Che Wan pada sebutan semula kes itu di hadapan Hakim Siti Fatimah Talib yang bertindak sebagai Majistret.

“Hari ini adalah ditetapkan untuk mendapatkan status (berhubung laporan tarik balik kes). Saya telah menerima arahan untuk meneruskan pendakwaan dan mohon mahkamah menetapkan satu tarikh perbicaraan,” kata Asmah.

Mendengar perkara itu, peguam Datuk Akberdin Abdul Kader, yang mewakili Hafidz kemudian terperanjat dengan makluman pihak pendakwaan tersebut.

Ini kerana menurut peguam itu, sebelum ini pengadu dalam kes ini dengan jelas telah menarik balik laporan yang dibuat pada 6 Julai lalu.

“Saya agak terperanjat apabila dimaklumkan pendakwaan akan meneruskan kes, namun pihak pembelaan tetap menghormati apa yang dinyatakan pendakwaan (teruskan kes),” kata peguam itu.

Berikutan itu, demi keadilan, pihak pembelaan berhasrat untuk membuat representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Kami perlu bawa perkara ini kepada perhatian pihak AGC, maka kami mohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan baharu, untuk representasi berkenaan,” kata peguam itu.

Semasa prosiding, Asmah tidak membantah sekiranya mahkamah menetapkan satu tarikh lain bagi keputusan representasi tersebut.

Selepas mendengar makluman kedua-dua belah pihak, mahkamah menetapkan 14 Oktober ini bagi sebutan semula kes dan keputusan representasi itu.

Sementara itu, Akberdin ketika ditemui di luar mahkamah selepas tamat prosiding berkata representasi yang dihantar kepada AGC supaya pertuduhan terhadap anak guamnya, ditarik balik.

Sebelum ini, mahkamah telah dimaklumkan mengenai laporan tarik balik kes namun hari ini pendakwaan dan mahkamah akan menentukan sama ada kes itu akan diteruskan atau sebaliknya.

Bagaimanapun dalam prosiding hari ini, Nurul Shuhada tidak hadir di mahkamah.

Pada 13 Mac 2023, Hafidz atau nama sebenarnya Muhammad Hafidz Roshdi, 30, didakwa dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Nurul Shuhada dengan menumbuk pipi kiri wanita itu sebanyak tiga kali sehingga luka, lebam dan bengkak.

Hafidz didakwa melakukan perbuatan itu berhampiran susur keluar Tol Sungai Buaya di sini pukul 3.22 pagi 2 Mac tahun lalu (2023) mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Kesalahan itu turut dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang membawa hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum bagi sabitan di bawah Seksyen 323 kanun yang sama.

Sebelum ini, mahkamah sama diberitahu, Hafidz disahkan waras dan pertuduhan yang didakwa ke atasnya layak dibicarakan.

Pada 29 Mac tahun lalu, Hafidz telah ke Hospital Bahagia untuk menjalani pemeriksaan psikiatri sebagaimana yang diperintahkan selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan mengikut Seksyen 342 Kanun Acara Jenayah.

Untuk rekod, Hafidz dan Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 7, dan Umar, 3 tahun. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI