PETALING JAYA – Persidangan Antarabangsa Logistik Maritim dan Pelabuhan (ICMLP) 2024 yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 3 September ini akan menemukan pemain dalam industri tersebut, pemimpin pemikiran, pakar industri dan juga inovator dari seluruh dunia.
Persidangan yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya itu akan menjadi platform bagi para peserta bertukar idea dalam logistik maritim, pengurusan pelabuhan, pengurusan rantaian bekalan dan pengangkutan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, persidangan tersebut dianjurkan oleh Netherlands Maritime University College (NMUC) dengan kerjasama Institut Latihan Pelabuhan (PTI) daripada Akademi Sains, Teknologi, dan Pengangkutan Maritim Arab (AASTMT), STC International, MY Iskandar Sdn Bhd (MISB) serta Institut Berkanun Logistik dan Pengangkutan (CILT).
“Sepanjang tiga hari, peserta akan terlibat dalam pembentangan yang penuh inspirasi, perbincangan panel dan sesi interaktif yang membincangkan cabaran dan peluang yang paling mendesak dalam bidang maritim.
“Ia juga akan merangkumi tema-tema penting seperti pasaran baharu dalam pembangunan pelabuhan, undang-undang maritim, pengurusan risiko dalam maritim dan logistik, pelabuhan pintar, penghantaran hijau, pembinaan kapal dan keselamatan siber.
“Turut dibincangkan adalah perkara berkaitan pengurusan rantaian bekalan digital, eksploitasi sumber laut yang lestari, tadbir urus yang bertanggungjawab secara sosial dalam logistik, kepelbagaian budaya di bandar pelabuhan, logistik kemanusiaan dalam tindak balas bencana, pendidikan dan latihan untuk profesional maritim,” katanya.
Kenyataan tersebut menerangkan, penceramah akan membentangkan pelbagai perkara dalam industri berkenaan, selain berkongsi pandangan serta dapat juga menginspirasikan peserta melalui sesi berinteraksi dengan peserta.
“Acara ini menekankan inovasi, kerjasama dan kemajuan pengetahuan dalam logistik maritim dan pengurusan pelabuhan serta menggariskan kepentingan logistik yang cekap, lestari selain berdaya tahan untuk perdagangan global, pertumbuhan ekonomi dan keterhubungan dalam landskap teknologi serta geopolitik yang berkembang pesat,” ujarnya.
Selain itu, peserta juga boleh menantikan lawatan pelayaran khas di Tasik Putrajaya yang menggabungkan masa santai dengan rangkaian bersama pakar industri yang terbaik dan berpengalaman.
“ICMLP 2024 menjemput para pempamer untuk mempersembahkan produk atau perkhidmatan mereka serta mengalu-alukan penaja untuk menyokong acara berprestij ini.
“Ia dapat memberi peluang unik kepada syarikat untuk meningkatkan keterlihatan mereka, berinteraksi dengan pemimpin industri yang berpengaruh dan menjalin hubungan yang berharga dengan pihak berkepentingan utama dalam sektor maritim, sekali gus meletakkan diri mereka di barisan hadapan dalam kemajuan industri,” ujarnya.
Untuk maklumat lanjut dan pendaftaran, sila layari laman web di icmlp.nmuc.edu.my. -KOSMO! ONLINE