fbpx

Harapan peniaga beli Mercedes-Benz murah musnah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azizi bercakap pada sidang akhbar di Ipoh hari ini. - Foto MUHAMAD NAZREEN SHAH MUSTHAFA

IPOH – Harapan seorang peniaga memiliki kereta mewah bukan sahaja tidak kesampaian, malah mengalami kerugian RM147,600 selepas menjadi mangsa penipuan pembelian kereta melalui laman sosial.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, mangsa berusia 53 tahun itu tertarik membeli kereta mewah jenis Mercedes-Benz GLA 200 AMG Sport 4matic 1.3A setelah melihat iklan penjualan di Facebook pada 15 April lalu.

Katanya, mangsa kemudian berhubung dengan seorang individu yang mendakwa sebagai jurujual di sebuah syarikat jualan kereta di Selangor melalui aplikasi WhatsApp.

“Mangsa telah ditawarkan harga jualan kereta itu sebanyak RM113,000 dengan ansuran bulanan RM1,328.80 selain memenangi hadiah cabutan bertuah sebuah iPad.

“Tertarik dengan tawaran itu, mangsa kemudiannya membuat pembayaran wang pendaftaran RM2,680 ke dalam akaun yang diberikan suspek dan dijanjikan penghantaran kereta pada 19 April lalu,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, mangsa juga telah membuat 32 transaksi bayaran ke dalam sembilan akaun bank yang diberikan suspek dengan jumlah keseluruhan RM144,920.

Katanya, bayaran itu bagi pelbagai tujuan iaitu insurans, cukai jalan, permit dan duti import (AP), surat perjanjian jual beli dan duti setem.

“Bagaimanapun, suspek masih meminta mangsa membuat bayaran lagi sebanyak RM20,000
bagi bayaran perjanjian jual beli tamat tempoh dan duti setem.

“Mangsa yang mula curiga dan sedar telah ditipu disebabkan proses pembelian yang terlalu rumit dan sukar, membuat laporan polis Selasa lalu,” katanya.

Tambah beliau, usaha sedang dijalankan bagi mengesan suspek dan siasatan kes dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI