SEPANG – Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memohon maaf kepada jutaan rakyat Malaysia selepas kontinjen Malaysia yang berjuang di Sukan Olimpik Paris 2024 masih belum berjaya untuk membawa pulang kilauan pingat emas.
Bagaimanapun, Hannah berkata, program Road to Gold (RTG) yang diterbitkan tahun lepas bukan satu kegagalan malahan pemburuan pingat emas tersebut adalah projek jangka panjang yang dilaksanakan bagi dua kitaran bermula di Paris 2024 dan Los Angeles pada 2028.
Tegasnya, biarpun pingat emas tidak berjaya dijelmakan namun prestasi atlet menunjukkan peningkatan dengan tiga rekod kebangsaan dipecahkan dalam temasya kali ini.
“Saya, bagi pihak kontinjen negara, memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana kami belum dapat membawa pulang pingat emas Olimpik untuk Malaysia.
“Seperti yang diumumkan sebelum ini, RTG adalah untuk dua kitaran Olimpik yang merangkumi Paris 2024 dan Los Angeles 2028. Apa yang kami lihat, terdapat peningkatan prestasi daripada atlet RTG.
“Di Paris, kita dapat melihat tiga rekod kebangsaan telah dipecahkan oleh Azizulhasni,Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri, dan Aniq Kasdan (angkat berat), sementara Shah Firdaus Sahrom dalam berbasikal dan Syaqiera (Mashayikh) dalam memanah memecahkan rekod peribadi mereka,” katanya ketika ditemui pada sidang media sejurus tiba di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebentar tadi.
Dalam pada itu, Hannah turut menegaskan selepas ini mereka akan bermesyuarat dan segala laporan, termasuk laporan audit mengenai RTG akan dibentangkan pada Sidang Parlimen.
“Jawatankuasa RTG akan mengadakan mesyuarat dan mendapatkan laporan teknikal dari setiap pasukan dari Olimpik Paris. Kami sedang menyediakan akaun yang akan diaudit dan dibentangkan di Parlimen.”
“Kami akan menjawab isu akaun, kami telah menggunakan dana dengan telus. Semua permintaan dari pemegang taruh iaitu dari jurulatih dan atlet RTG telah kita tunaikan sebelum mereka berlepas ke Olimpik Paris,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE