fbpx

Datuk antara ditahan kaut untung operasi e-waste haram, sitaan bernilai RM43.19 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hasbullah menunjukkan antara premis e-waste beroperasi secara haram pada sidang akhbar di Menara KPJ, Kuala Lumpur, hari ini. - Foto oleh ILHAM ZAKARIA

KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk antara 55 individu yang ditahan bersama sitaan bernilai RM43.19 juta hasil serbuan sindiket memproses sisa elektronik (e-waste) haram dalam serbuan di tiga buah negeri.

Lokasi serbuan membabitkan kawasan Salong, Pekan dan Bukit Ibam di Pahang manakala Kuang, Rawang dan Bukit Tagar di Selangor diikuti Rembau dan Gemencheh, Negeri Sembilan dan Simpang Renggam, Johor.

Op E-Waste itu dilaksanakan Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) dengan kerjasama Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke atas tujuh kilang e-waste, 5 Ogos lalu.

Ketua pasukan AMLA Bukit Aman, Datuk Muhammed Hasbullah Ali berkata, seramai 10 warga tempatan dan 45 warga asing berusia lingkungan 30 hingga 50 tahun ditahan berkait aktiviti tersebut.

Katanya, operasi fasa pertama itu mengesan kilang-kilang terbabit telah beroperasi sejak 2023 tanpa lesen dan tidak berdaftar serta mengaut untung jutaan ringgit.

“Siasatan mendapati, warga tempatan yang terbabit berperanan sebagai pemilik tanah, penyelaras serta koordinator yang mengambil untung atas sewaan premis (kilang) dengan nilai puluhan ribu ringgit.

“Warga asing yang ditahan pula memainkan peranan membawa teknologi dan bahan kimia dari luar untuk pemprosesan e-waste selain juruteknik,” katanya pada sidang akhbar di Menara KPJ, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Hasbullah memaklumkan nilai jualan semula e-waste boleh mencecah RM70,000 selepas diperoses menjadi jongkong dan blok logam sebelum diseludup semula ke negara luar.

Tambah beliau, pemilik perniagaan haram itu turut menggajikan warga asing sebagai pekerja serta mendapatkan bahan e-waste dari sebuah negara di Asia.

“AMLA telah menyita dan merampas pelbagai aset seperti pallet, blok logam e-waste, kenderaan, jentera dan kilang bernilai RM43.19 juta.

“Tanah yang diguna sebagai tapak kilang juga telah dibekukan dan nilainya masih dalam penilaian,” ujarnya.

Kata beliau, AMLA akan melihat isu e-waste ini secara menyeluruh termasuklah siapa dalang di sebaliknya, bagaimana ia dibawa masuk dan modus operandinya.

“Apa yang dikesan kilang-kilang haram ini beroperasi di kawasan ladang kelapa sawit dan hutan jauh daripada laluan utama. Proses pembakaran atau peleburan dipercayai dilakukan waktu malam bagi melindungi aktiviti haram itu daripada dikesan.

“Berdasarkan kes sebelum ini, serbuan pernah dibuat pihak berkuasa namun kilang ini boleh kembali beroperasi dan kita lihat seperti ada yang tidak betul. AMLA akan pastikan kilang dan rangkaiannya ini diambil tindakan habisan,” katanya.

Tegasnya, dalam usaha membanteras aktiviti pengubahan wang haram ini, polis mengingatkan orang ramai dapat memberi kerjasama debgan menyalurkan maklumat.

“Kita tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau pihak yang terlibat,” ujarnya.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001, Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, Seksyen 32 Akta Perhutanan Negara 1984, Seksyen 24 Akta Kualiti Alam Sekitar 1974, Seksyen 135 Akta Kastam 1967 serta Akta Imigresen 1959/63.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI