JOHOR BAHRU – Seorang guru sebuah sekolah di Batu Pahat mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM33,870.10 pada tahun 2022 dan 2023.
Tertuduh, Abdul Aziz Husin, 54, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Berdasarkan kertas pertuduhan, bapa kepada lapan cahaya mata itu didakwa gagal melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pemberian wang berjumlah RM33,870.10 daripada dua individu termasuk seorang pemilik syarikat antara 9 November 2022 hingga 17 Januari 2023.
Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di cawangan sebuah bank tempatan di daerah Kota Tinggi.
Atas perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan boleh dijatuhkan hukuman bawah seksyen 25(2) akta sama yang memperuntukkan denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya.
Pegawai Pendakwa SPRM, Alice Voon Mei Ling memohon mahkamah menetapkan wang jaminan sebanyak RM30,000 kepada tertuduh sebagai pengajaran buat masyarakat.
Bagaimanapun, peguam tertuduh, Mohd. Razak Sharif meminta jaminan dikurangkan kerana tertuduh mempunyai lapan anak dengan enam daripadanya masih belajar.
“Selain itu, tertuduh turut menanggung dua ibu bapa yang sudah berusia dan tidak sihat. Tertuduh juga tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” ujarnya.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin untuk kesemua pertuduhan selain perlu melapor diri sebulan sekali di Pejabat SPRM Batu Pahat.
Ahmad Kamal Arifin turut menetapkan tarikh 8 September untuk sebutan semula kes.-KOSMO! ONLINE