LONDON – Kemenangan 2-0 ke atas Lyon di Stadium Emirates kelmarin memberikan aura positif untuk membolehkan Arsenal kekal tenang sebelum memulakan aksi pertama Liga Perdana Inggeris (EPL) hujung minggu ini.
Pengurusnya, Mikel Arteta juga jelas puas dengan kualiti dijelmakan pemainnya sepanjang pramusim kali ini dan menjelaskan anak buahnya sudah dihidangkan aksi kompetitif sekali gus mampu mematangkan persembahan pasukannya.
“Ujian yang sangat bagus dan saya fikir kami dapat sesuatu yang agak positif sepanjang jelajah pramusim. Semua orang bekerja keras untuk memastikan segala perancangan dapat dilaksanakan dengan sempurna.
“Prestasi pasukan cukup hebat terutamanya semasa di babak pertama di mana kita boleh lihat pemain kami bermain pada tahap tertinggi.
“Ada penurunan di babak kedua tetapi kami sudah pun mengharungi perlawanan dengan cukup bagus dan secara keseluruhan saya begitu gembira dengan prestasi pemain,” katanya.
Paling melegakan Arteta pastinya menjurus kepada kualiti pasukan kendaliannya yang berjaya memanfaatkan situasi bola mati dengan lebih baik.
Ia terbukti menerusi dua gol daripada tonggak pertahanan tengah, William Saliba dan Gabriel Magalhaes melalui sepakan penjuru ketika menewaskan Lyon kelmarin.
“Kami sering baiki apa yang kami sedang lakukan dan pada perlawanan ini dua gol berjaya dihasilkan dan situasi bola mati sekaligus memberikan lebih keyakinan buat pasukan,” jelas Arteta. – AGENSI