KUALA LUMPUR – Kira-kira 7,100 ‘rider’ (rakan penghantar) Foodpanda Malaysia memanfaatkan pakej khas telekomunikasi yang dilancarkan Kementerian Komunikasi sejak Januari lalu.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, insentif tersebut bukan sahaja memberi kemudahan, malah turut meringankan beban pekerja ekonomi gig.
“Sebelum ini, setiap syarikat p-hailing ada berhubung dengan pihak telco tertentu untuk menyediakan pakej khusus untuk ‘rider’ mereka dan saya difahamkan seramai 7,100 rider Foodpanda telah menggunakan pakej itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kempen ‘Jejak Panda’ yang dianjurkan oleh Foodpanda Malaysia di Indah Water Konsortium (IWK) Eco Park, Pantai Dalam, di sini hari ini.
Kempen ‘Jejak Panda’ menyediakan peluang segera kepada mereka yang ingin mencari pendapatan sementara atau menambah pendapatan sedia ada.
Acara itu yang dihadiri lebih 150 penduduk Pantai Dalam turut menawarkan peluang eksklusif kepada pengunjung untuk mendaftar sebagai rakan penghantar Foodpanda secara serta-merta.
Selain menerima latihan pada hari yang sama, mereka yang mendaftar akan menerima kit rider percuma bernilai RM150.- KOSMO! ONLINE